Amirudin Shari

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan memulakan segera tugas dan amanah untuk melaksanakan lima perkara utama dalam tempoh 100 hari pentadbiran ini ditubuhkan.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, lima perkara itu ialah menghargai wanita bekerja dengan pemberian RM1,000 kepada 5,000 wanita bagi mengurangkan kos penjagaan anak-anak.

Kedua, katanya, melaksanakan pengecualian cukai pintu untuk rumah kampung dan rumah kos rendah.

“Ketiga, seramai 1,000 mahasiswa negeri Selangor akan menerima baucar buku Kita Selangor bernilai RM200, keempat, menaikkan elaun imam, bilal, siak dan nazir serta kelima, seramai 500 petani, pesawah dan nelayan akan terima Insentif Pertanian dan Perikanan Kita Selangor berjumlah RM1,000.

“Bukan itu sahaja, saya tahu rakyat menginginkan ekonomi yang lebih adil dan bermaruah agar kualiti hidup dapat terus diperbaiki dan ditingkatkan.

“Selain penduduk di Selangor juga ingin rasa selamat untuk duduk di bumi Selangor, keselamatan bukan hanya dari segi sekuriti, tetapi juga dengan kepercayaan bahawa jika dihadapkan dengan kehilangan kerja ataupun masalah kesihatan, kerajaan yang bersifat penyayang – Selangor Penyayang mempunyai sistem bantuan dan pemberdayaan untuk memastikan mereka dapat bangkit semula dan meneruskan dengan kehidupan tanpa mengalami krisis yang besar,” katanya di sini, hari ini.

Kata Amirudin, beliau berpegang kepada ikhtiar untuk menjadikan Selangor sebagai negeri paling berjaya, bukan sahaja di Malaysia, tetapi di rantau ini.

Malah, katanya, berjaya bukan sahaja dari segi ekonomi, tetapi dengan peluang pekerjaan bergaji tinggi.

“Berjaya bukan sahaja dari segi sumbangan KDNK paling tinggi, tetapi menelusuri solusi kepada perubahan iklim, khususnya banjir.

“Berjaya bukan sahaja dengan membuka wilayah ekonomi baharu, tetapi juga menjadikan pentadbiran ini berpaksikan rakyat.

“Berjaya bukan sahaja dengan 46 program kebajikan yang kita komited untuk meningkatkan kepada 60, tetapi dengan program pendidikan yang memberdaya generasi muda dan komuniti wanita untuk diberikan kemahiran tinggi dan penggajian setimpal dengan kerja yang dilaksanakan,” kata beliau.

Menurutnya, 5 Tekad yang beliau umumkan baru-baru ini akan menjadi pegangan kerajaan negeri termasuk idea baharu untuk dilaksanakan sesuai dengan keperluan akan datang.

Bagi melaksanakan ikhtiar itu, beliau memperkenalkan secara perinci tugas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Penggal Ke-15. – MalaysiaGazette