Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy untuk membatalkan saman difailkan 1MDB.

Sebanyak AS$6.59 bilion telah difailkan terhadap mereka.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan membuat keputusan itu selepas mendapati, dakwaan penipuan dan konspirasi yang dibuat 1MDB dalam tuntutan samannya tidak boleh diputuskan melalui pendekatan yang mudah.

Raja Ahmad memutuskan tuntutan saman itu tidak sesuai untuk dibatalkan pada peringkat ini dan ia hendaklah diputuskan melalui perbicaraan penuh dengan mendengar keterangan saksi.

Katanya, ini tidak boleh diputuskan melalui afidavit dan bukan kes yang boleh dibatalkan secara terus.

“Dakwaan oleh 1MDB bahawa defendan melakukan penipuan dan konspirasi tidak boleh diselesaikan melalui pendekatan yang mudah. Saya putuskan saman ini diputuskan melalui perbicaraan penuh,” katanya hari ini.

Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah

Raja Ahmad memerintahkan Mohd Irwan dan Arul Kanda membayar RM10,000 kepada 1MDB dan kemudian menetapkan pada 14 September ini bagi tarikh pengurusan kes.

1MDB pada Mei 2021 mendakwa kedua-dua defendan telah melakukan pecah amanah dan konspirasi menyebabkan 1MDB mengalami kerugian berjumlah AS1.83 bilion berhubung pelaburan dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd yang ditukar kepada pelaburan Brazen Sky Limited (Brazen Sky).

Pada 18 Februari 2022, Mohd Irwan telah memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu dan antaranya mendakwa tuntutan saman terhadapnya adalah pra matang kerana pelaburan Brazen Sky serta pembayaran Aabar Investments PJS Limited adalah jelas tidak kukuh.

Kata Mohd Irwan, mahkamah masih belum menentukan 1MDB mengalami kerugian sebanyak AS$1.83 bilion dan AS$3.5 bilion.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy tiba di mahkamah pada hari keputusan sama ada diarah membela diri atau lepas pertuduhan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 03 MAC 2023.

Manakala Arul Kanda pula memfailkan permohonan sama pada 2 Jun 2022 atas alasan beliau tidak boleh dipertanggungjawabkan atas kerugian ditanggung 1MDB hasil penyelewengan dilakukan orang lain. – MalaysiaGazette