JOHOR BAHRU – Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pulai, Zulkifli Jaafar diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai.
Pakar bedah endovaskular, Dr. Mohd. Mazri Yahya pula diumumkan sebagai calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram .
Kedua-dua calon itu diumumkan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Bilik Gerakan Utama PN Pulai, Kempas Baru dekat sini hari ini.
Sementara itu, calon PN bagi DUN Simpang Jeram, Mohd. Mazri menyatakan pencalonannya bukanlah kerana beliau ingin mengejar kedudukan.
Sebaliknya ia lebih kepada kepercayaan dan amanah yang telah diberikan oleh pucuk pimpinan parti.
Beliau yang pernah bertanding di kerusi DUN Simpang Jeram pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menentang Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ini kerana suasana politik sebelum ini amat berbeza.
“Saya telah diarahkan oleh pimpinan parti untuk bertanding di Simpang Jeram jadi pada mulanya perasaan itu berbelah bagi tetapi atas tanggungjawab saya kepada parti, terima kasih atas kepercayaan.
“Pada ketika itu, saya lawan Allahyarham Salahuddin pada PRU-14 tetapi suasana berbeza dan seterusnya pun berbeza dan PRK juga berbeza dan mudah-mudahan dengan perbezaan suasana ini kita dapat kekalkan momentom PN di negeri Johor,” katanya ketika ditemui hari ini.
Dr Mohd Mazri adalah seorang pegawai perubatan, aktivis kemasyarakatan dan ahli politik dari Pas.
Beliau merupakan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat dan Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri Johor selain merupakan AJK PN Johor.
Sementara itu bagi calon PN bagi Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar juga bersedia memberi sepenuh tumpuan dan tidak mahu mengecewakan parti yang telah pun memberikan kepercayaan kepadanya.
“Ini kali pertama saya bertanding. Sebelum ini saya banyak usahakan perniagaan dan aktif dalam membantu usahawan.
“Tetapi bila tercalon sahaja saya akan beri tumpuan penuh sepanjang PRK seperti mana yang dimahukan Muhyiddin iaitu meninta orang lain uruskan perniagaan saya supaya komitmen seratus peratus untuk PRK.
“Insya-Allah saya sedia. Saya buat pun untuk rakyat,” tekadnya.
Zulkifli merupakan Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pulai manakala Dr Mohd Mazri pula pakar bedah vaskular dan endovaskular yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor merangkap Ahli Jawatankuasa Pas Pusat. – MalaysiaGazette