KUALA LUMPUR – UMNO Kedah hari ini memberikan sepenuh keyakinan kepada presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ketua penerangannya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, ia dicapai dalam mesyuarat UMNO negeri dan mereka percaya parti itu kini dalam fasa pembaikan dan Ahmad Zahid boleh membinanya semula.
“Sekarang ialah masa untuk membina semula parti dan proses untuk membina semula UMNO harus digalas dan dilaksanakan secara kolektif oleh segenap lapisan kepimpinan daripada peringkat pucuk pimpinan pusat sehinggalah ke peringkat bahagian serta cawangan di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Shaiful Hazizy lagi, UMNO Kedah menolak dakyag melemahkan semangat parti melalui desakan mengetepikan atau memaksa Ahmad Zahid meletakkan jawatan tanpa menggunakan saluran demokrasi yang betul.
UMNO Kedah yang dipimpin Datuk Seri Mahdzir Khalid membuat ketetapan itu dalam mesyuarat hari ini yang yang memberi sepenuh keyakinan terhadap Ahmad Zahid selaku presiden parti.
Dalam pada itu, Shaiful Hazizy yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok berkata, PKR sebagai contoh sebuah parti politik yang matang dan kembali memperkukuhkan parti bersama ahli-ahli yang masih setia yang kemudiannya bangkit untuk menerajui semula negara.
“PKR juga mengalami proses pembersihan parti besar-besaran setelah siri pengkhianatan oleh kumpulan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang membawa ribuan ahli keluar daripada parti.
“Justeru itu, adalah penting untuk UMNO kembali stabil dan supaya Datuk Seri (Ahmad Zahid) kekal sebagai Presiden UMNO dalam tempoh usaha memperkukuhkan kembali parti di pentas politik dan pentadbiran negara,” katanya. – MalaysiaGazette