Penduduk setempat turut membantah penganjuran konsert viral lagu-lagi TikTok diadakan di Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang meminta Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) membatalkan kelulusan konsert Viral Lagu-Lagu TikTok yang dijadual berlangsung pada 30 September depan di Dewan Milenium, Kepala Batas.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohamad Abdul Hamid berkata, kerajaan negeri mengambil maklum kegusaran orang ramai mengenai penganjuran konsert berkenaan.

Beliau yang juga Exco Pembangunan Agama Islam berharap konsert itu dibatalkan dengan mengambil kira sensitiviti umat Islam kerana ia diadakan dua hari selepas sambutan Maulidur Rasul.

“Warga setempat juga telah mengemukakan bantahan rasmi mereka kepada Datuk Bandar MBSP.

“Kita minta ia (konsert) dibatalkan meskipun pihak penganjur telah memohon untuk memindahkan lokasi konsert itu ke kawasan Batu Kawan dengan syarat-syarat tambahan,” katanya dalam kenyataaan di Facebook.

Pada Selasa, tular poster penganjuran Konsert Viral Lagu-Lagu TikTok Malaysia Indonesia 2023 yang menampilkan artis, antaranya Baby Shima serta beberapa artis Indonesia.

Bagaimanapun, dalam poster terbabit tidak dinyatakan mengenai kadar caj tiket yang dikenakan selain tiada maklumat lengkap pihak penganjur yang mengendalikan acara terbabit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast