Yevgeny Prigozhin . foto TRT

MOSCOW – Ketua kumpulan tentera upahan Wagner Rusia, Yevgeny Prigozhin, dilaporkan terbunuh dalam nahas pesawat.

Pesawat itu, sebuah jet perniagaan, terhempas di wilayah Tver barat laut Moscow, menyebabkan kematian kesemua 10 orang di dalamnya, menurut pihak berkuasa Rusia.

Walaupun Prigozhin berada dalam senarai penumpang, namun setakat ini belum disahkan sama ada beliau berada di dalam pesawat berkenaan.

“Siasatan mengenai nahas pesawat Embraer yang berlaku di Wilayah Tver petang ini telah dimulakan. Menurut senarai penumpang, nama pertama dan terakhir Yevgeny Prigozhin dimasukkan dalam senarai ini,” kata Agensi Persekutuan Pengangkutan Udara Rusia atau Rosaviatsia dalam satu kenyataan.

Pesawat itu terbang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sheremetyevo di Moscow ke St. Petersburg, kata agensi itu.

Prigozhin adalah antara individu penting dalam perang Rusia-Ukraine.

Tentera Wagner digunakan Rusia di barisan depan perang.

Prigozhin juga adalah individu yang bertanggangjawab menawan beberapa bandar Ukraine, termasuk Bakhmut dan lantang mengkritik kepimpinan tentera konvensional Russia

Kementerian Perkhidmatan Kecemasan Rusia menulis di akaun Telegramnya: “Di wilayah Tver, berhampiran perkampungan Kuzhenkino, sebuah pesawat persendirian Embraer Legacy terhempas ketika terbang dari Moscow ke St. Petersburg. Terdapat 10 orang di atas kapal, termasuk 3 anak kapal.”

“Menurut maklumat awal, semua di dalam pesawat itu terbunuh. EMERCOM of Russia sedang menjalankan operasi carian,” kata kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu, media turut melaporkan lapan mayat dalam pesawat berkenaan sudah ditemui.

Agensi berkenaan juga menyenaraikan Dmitry Utkin, seorang tokoh yang didakwa menguruskan operasi Wagner dan berkhidmat dalam risikan tentera Russia turut berada dalam pesawat terbabit.

Selain itu, katanya, suruhanjaya khas ditubuhkan bagi menyiasat nahas pesawat milik MNT-Aero terbabit.

Jawatankuasa Penyiasatan Russia yang menyiasat jenayah serius juga menjelaskan pihak turut membuka siasatan nahas terbabit.- Agensi