SERDANG – Parti Amanah Negara (Amanah) menaruh keyakinan mampu mempertahankan kerusi Parlimen Pulai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu yang akan diadakan pada 9 September ini.
Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu percaya Suhaizan Kayat mampu menandingi populariti penyandang kerusi Parlimen berkenaan, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.
“Insya Allah…Parlimen (Pulai) kita akan berjaya di sana,” katanya ringkas kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian ShowTech Institut Penyelidikan dan kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), di Taman Ekspo Agro Malaysia Serdang (MAEPS) di sini, hari ini.
Semalam, Mohamad mengumumkan Suhaizan yang juga Naib Pengerusi Amanah Johor sebagai calon yang akan dipertaruhkan pada PRK Pulai mewakili gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).
Ini merupakan kali ketujuh Suhaizan yang juga bekas Setiausaha Politik Allahyarham Salahuddin bertanding dalam pilihan raya.
Suhaizan yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Negeri (DUN) Johor pernah bertanding kerusi Parlimen Parit Sulong pada 2004, Parlimen Simpang Renggam (2013), (DUN) Kukup pada 2018 dan DUN Pulai Sebatang (2022).
Salahuddin, 61, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, pada 23 Julai lalu kerana pendarahan otak. – MalaysiaGazette