Mohd Mazlan dikehendaki kerana gagal menghadirkan diri untuk kes sebutan semula tuduhan rogol 17 Jun lalu.

SERDANG – Polis menjejaki seorang lelaki yang gagal hadir ke mahkamah bagi sebutan kes rogol di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 15 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, lelaki itu dikenali sebagai Mohd Mazlan Sharfudeen berusia 31 tahun dengan alamat akhir dikesan di Bandar Puchong Jaya, Selangor.

“Pada 17 April lalu, lelaki terbabit telah dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan (rogol) dan ketika pertuduhan dibacakan, Orang Kena Tuduh (OKT) tidak mengaku bersalah dan telah diikat jamin mahkamah.

“Sebutan semula kes berkenaan telah di tetapkan pada 15 Jun lalu tetapi OKT gagal untuk menghadirkan diri ke mahkamah,” katanya dalam kenyataan pada hari ini.

Tambah Anbalagan, susulan itu mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Mohd Mazlan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan individu terbabit diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nursabrina Ahmad Jafri di talian 012-6348487 atau 03-80742222 selain menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette