KUALA LUMPUR – Selepas mendapat sambutan yang menggalakkan sejak dilancarkan pada Jun lalu, tawaran Skim Perubatan Madani telah dikembangkan di tujuh buah daerah baharu untuk menjadikan skim ini tersedia di 21 buah daerah, sebelum
diperluaskan ke seluruh negara pada bulan September 2023.

Daerah baharu berkenaan ialah Kota Bharu, Pasir Mas (Kelantan), Kuantan (Pahang), Melaka Tengah (Melaka), Seremban (Negeri Sembilan), Seberang Perai Tengah (Pulau Pinang) dan Perlis.

ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth) berkata, penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di semua daerah ini boleh mula mendapatkan rawatan percuma seperti konsultasi, pemeriksaan, ubat-ubatan, prosedur dan rujukan di klinik perubatan swasta Peruntukan bagi setiap isi rumah berkeluarga adalah sehingga RM250, RM125 bagi warga emas (tanpa pasangan) dan RM75 bagi kategori bujang.

“Hanya dengan satu langkah mudah, penerima manfaat yang layak cuma perlu membawa kad pengenalan mereka ketika ingin mendapatkan rawatan tanpa prapendaftaran diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, penerima manfaat boleh mengenal pasti klinik terdekat dan semak kelayakan di laman sesawang www.protecthealth.com.my/skimperubatanmadani.

Sebagai alternatif, penerima manfaat juga boleh menyemak kelayakan melalui aplikasi MySejahtera.

Pendaftaran untuk menjadi panel klinik Skim Perubatan MADANI masih dibuka dan menyasarkan jumlah klinik akan terus meningkat dari semasa ke semasa.

“Kami telah menerima sebanyak 210 permohonan yang mana sejumlah 25 klinik telah memulakan operasi di tujuh daerah ini dan bersedia untuk memberi rawatan di bawah Skim Perubatan Madani.

ProtectHealth menambah, selaku pelaksana Skim Perubatan Madani, ia akan terus komited dalam meningkatkan akses kumpulan berpendapatan rendah kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan di klinik swasta
melalui Public-Private Partnership (PPP) sekali gus meringankan bebanan kewangan golongan tersebut menerusi skim ini.

“Kami juga optimis bahawa dengan penglibatan lebih banyak klinik perubatan swasta, kebajikan dan kesejahteraan kumpulan B40 dapat ditingkatkan,” ujarnya. – MalaysiaGazette