KUALA LUMPUR – Terowong Kampung Gedung Siam 3 – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 1.32 kilometer telah berjaya ditembusi mengikut jadual yang telah ditetapkan, menjadikan ia sebagai terowong ke-24 bagi Projek ECRL yang berjaya melengkapkan proses pengorekan terowong setakat ini.
Pengorekan terakhir di ‘Terowong Kampung Gedung Siam 3’ telah menembusi lapisan akhir kira-kira 126 meter dari portal masuk terowong.
Kejayaan ini hasil dari lebih kurang 27,980 jumlah jam bekerja dengan pelaksanaan kaedah gerudi dan letup untuk menembusi batu pasir.
Terowong Kampung Gedung Siam 3 ialah sebuah terowong tunggal yang mempunyai purata ketinggian 13.47 meter dan kelebaran 13.02 meter, sekaligus mencukupi untuk menampung pengoperasian dua landasan berkembar tolok Standard. Lapisan kekal terowong juga telah mencapai kemajuan yang meyakinkan iaitu melebihi 1,113 meter sebelum penembusan pada hari ini.
Kerja-kerja pengorekan Terowong Kampung Gedung Siam 3 telah bermula pada Januari 2020 dan dijadualkan untuk ditembusi pada bulan Ogos 2023.
Pembinaan terowong ini membolehkan laluan kereta api ECRL mematuhi kecerunan maksimum sebanyak 0.74 peratus serta mengelakkan penebangan hutan terbuka di kawasan tersebut.
Daripada 25 buah terowong ECRL yang berjaya ditembusi setakat ini, sebanyak 21 buah terowong terletak di bawah jajaran Seksyen A (Kota Bharu-Dungun) dan Seksyen B (Dungun-Mentakab) manakala empat buah terowong di Seksyen C (Mentakab-Pelabuhan Klang).
Sebagai rekod, Projek ECRL telah mencatatkan penembusan terowong pertamanya di Terowong Paka, Terengganu.
Terowong sepanjang 1.1 km ini telah ditembusi pada bulan April 2021 iaitu enam bulan lebih awal daripada jadual.
Projek ECRL melibatkan pembinaaan sebanyak 40 buah terowong dengan jarak keseluruhan kira-kira 69 km di sepanjang jajarannya dari Kota Bharu ke Pelabuhan Klang.
Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, Projek ECRL telah mencatat satu lagi pencapaian penting iaitu kejayaan penembusan Terowong Kampung Gedung
Siam 3 sepanjang 1.32 km, sekaligus melengkapkan kerja-kerja pengorekan terowong untuk ECRL di sepanjang jajaran Seksyen A dan B.
“Kami menghargai komitmen dan kerjasama yang diberikan oleh tenaga kerja ECRL di Terowong Kampung Gedung Siam 3 atas kejayaan melaksanakan kerja pengorekan tanah dan batuan sedalam 167,830 meter padu secara selamat dengan pergerakan tanah yang minimum.Kejayaan ini juga membolehkan kerja-kerja sivil terowong ini siap sepenuhnya menjelang April 2024,” katanya semasa perasmian penembusan Terowong Ke-24 Projek ECRL hari ini.
Zuki berkata, projek ECRL juga berpuas hati dengan penyelesaian kerja-kerja kritikal yang melibatkan pemasangan jambatan berspan panjang (108 meter setiap satu) di lima lokasi di jajaran
Seksyen A dan B serta kerja-kerja pengorekan terowong yang telah selesai di Seksyen A dan B.
Beliau juga menambah, kerja-kerja pemasangan landasan ECRL akan dilaksanakan pada suku keempat 2023 bermula di laluan rel dari Gebeng menghala ke Dungun.
Projek ECRL telah mencapai kemajuan keseluruhan sebanyak 48.77 peratus sehingga kini, seiring dengan jadual penyiapan infrastruktur rel ini dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak pada
Disember 2026. Jajaran ECRL yang melibatkan sambungan rel dari Gombak ke Pelabuhan Klang ini dijangka siap pada Disember 2027.
Pengarah Urusan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL), Kong Qi pula berkata, penembusan terowong hari ini merupakan pencapaian penting dalam usaha membina 40 terowong ECRL. – MalaysiaGazette