ISKANDAR PUTERI – Zon kewangan khas di Forest City akan diwujudkan dalam usaha merancakkan pelaburan, pertumbuhan dan aktiviti ekonomi di Johor.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengwujudkan zon tersebut selain insentif yang disediakan kerajaan akan menyaksikan kos untuk menjalankan perniagaan di kawasan tersebut lebih berpatutan.
“Lokasi Johor yang strategik bersebelahan Singapura serta mempunyai infrastuktur asas yang lengkap, boleh menarik lebih ramai pelabur terutama apabila kos di Singapura dianggap terlalu tinggi masa kini.
“Ini sesuai dengan kerangka ekonomi Madani yang wujud di Johor ini berbeza dengan negeri lain dan (kita) boleh ambil kesempatan daripada pencapaian Singapura. Ataranya kos yang terlalu tinggi yang tidak dapat ditanggung syarikat-syarikat besar, antaranya kos yang terlalu tinggi yang juga tidak dapat ditanggung syarikat besar,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Belanjawan 2024 Negeri Johor di Dewan Banquet, Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.
Menurut Anwar, semua kementerian, jabatan dan kerajaan negeri harus memastikan perancangan mewujudkan zon kewangan khas dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
Sementara itu, Perdana Menteri, beberapa insentif di zon kewangan khas itu merupakan peluasan insentif di Iskandar Malaysia ke Forest City yang mana ia melibatkan kadar cukai pendapatan khas 15 peratus bagi pekerja mahir dan visa beberapa kali masuk (multiple entry visa). – MalaysiaGazette