JOHOR BAHRU – Calon dan penyokong parti yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram diingatkan supaya tidak melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya semasa berkempen.
Selain itu mereka turut diingatkan agar tidak menimbulkan kekacauan atau merosakkan bahan kempen parti lain.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, polis akan memastikan tiada pihak melakukan sebarang tindakan yang melanggar undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya.
“Saya yakin semuanya telah tahu peraturan atau perkara yang boleh atau tidak ketika berkempen. Berkempen baik-baik.
“PDRM sentiasa bersedia di tahap maksimum untuk membolehkan calon dan pengundi melaksanakan tanggungjawab demokrasi mereka,” katanya dalam sidang media di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini, hari ini.
Sebelum ini Kamarul Zaman berkata, seramai 1,200 pegawai dan anggota bertugas di Parlimen Pulai dan 500 anggota dan pegawai ditugaskan di Simpang Jeram bagi memastikan kelancaran penamaan calon berlangsung pagi ini. – MalaysiaGazette