Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengiringi Calon Pakatan Harapan (PH) P.161 Pulai, Suhaizan Kaiat sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai Ke-15 di Dewan Jubli Intan, Johor Bahru. Foto MUHD NA’IM, 26 OGOS 2023.

JOHOR BAHRU – Ratusan penyokong Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) mengiringi calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat ke Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini, bagi penyerahkan borang penamaan calon.

Mereka berarak dari Pejabat Pos Besar Johor Bahru dengan mengibarkan bendera PH dan BN dan tiba di dewan tersebut pada jam 8.40 pagi.

Antara pemimpin yang hadir mengiringi Suhaizan adalah Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu; Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengerusi Amanah Johor, Amimolhuda Hassan.

Mohamad, Ahmad Zahid, Mohamed Khaled dan Aminolhuda turut mengiringi Suhaizan memasuki khemah di bahagian tepi pusat penamaan calon untuk menunggu proses penamaan calon.

Sementara itu di sebelah kanan bahu jalan ratusan penyokong PN mengiringi calon mereka, Zulkifli Jaafar diketuai Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk penamaan calon bagi kerusi Parlimen Pulai pada Sabtu.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Calon Perikatan Nasional (PN) P.161 Pulai, Zulkifli Jaafar sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai Ke-15 di Dewan Jubli Intan, Johor Bahru. Foto MUHD NA’IM, 26 OGOS 2023.

Penyokong PN berarak sambil berselawat dan membaca doa sebelum tiba berhampiran Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim pada jam 8.45 pagi.

Turut mengiringi Zulkifli ialah Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Naib Presiden Bersatu, Datuk Ronald Kiandee dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin. – MalaysiaGazette