Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengiringi Calon Pakatan Harapan (PH) P.161 Pulai, Suhaizan Kaiat sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai Ke-15 di Dewan Jubli Intan, Johor Bahru. Foto MUHD NA’IM, 26 OGOS 2023.

JOHOR BAHRU – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak mahu melayan provokasi dibuat Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang mendakwa UMNO akan berkubur dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Johor ini.

Sebaliknya Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu tidak mempunyai hak hak untuk bercakap bagi pihak lawannya itu.

“Tanya dengan dia (Sanusi) kenapa cakap mcm itu, saya tiada hak untuk pertikaikan kegilaan seseorang,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkara itu.

Sementara itu, Ahmad Zahid melahirkan keyakinan tahap keserasian antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) khususnya pada PRK Parlimen Pulai yang berada pada tahap tinggi.

“Untuk Pulai saya memperkatakan keyakinan kuat kerana Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed ada hubungan baik sekian lama dengan rakan-rakan PH walaupun sembilan bulan lalu bertempur.

“Tetapi sekarang beberapa program sudah disusun beliau untuk menyatukan kedua-dua jentera. Selain itu, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sendiri turut santuni ahli dan penyokong UMNO, jadi di Pulai ini agak mudah,” ujarnya.

Beliau juga yakin PRK Pulai akan dimenangi calon Kerajaan Perpaduan kerana jumlah undi diterima PH dan BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu adalah sebanyak 94,000 undi, manakala calon PN hanya menerima kira-kira 20,000 undi.

“Namun lanskap politik sudah berubah, maka kita juga perlu ubah susun atur perjalanan kempen, kita sedar ini merupakan satu pendakian yang licin namun dalam politik ia tidak mustahil,” jelasnya lanjut.

Terdahulu Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, pengundi akan terus menolak UMNO dalam PRK itu disebabkan kerjasama dengan PH khususnya bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast