IPOH – Lapan laluan di sekitar Stadium Perak akan ditutup dan dilencongankan pada Khamis ini bagi memberi laluan kepada raptai  perarakan dan perbarisan sambutan Hari Kebangsaan ke-66 peringkat negeri ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, penutupan dan lencongan jalan berperingkat juga akan dijalankan mengikut keperluan semasa sepanjang sesi raptai yang akan berlangsung hari ini dan 29 Ogos.

“Antara jalan yang akan ditutup dan lencongan adalah  Jalan Ghazali Jawi, Jalan Kamarudin Isa, Jalan Ahsman Shah, Lebuh Cecil Rae, Jalan Stadium Perak, Jalan Kompleks Sukan, Jalan Dato’ Lau Pak Khuan dan Jalan Canning Estate.

“Manakala penutupan jalan dan lencongan pada hari Khamis ini akan dilaksanakan bermula jam 6.30 pagi sehingga selesai acara sambutan Hari Kebangsaan di Stadium Perak,” katanya dalam satu kenyataan media.

Justeru, beliau menasihatkan pengguna jalan raya merancang perjalanan dan memilih laluan alternatif bagi mengelakkan daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas semasa penutupan dan lencongan jalan dilaksanakan. – MalaysiaGazette