KUALA LUMPUR – Pelakon dan penyanyi popular, Diana Danielle tidak mengiyakan atau menafikan beliau ada membuat sebarang perubahan pada bahagian hidungnya.
Dalam masa yang sama beliau tidak mahu mengulas mengenai perkara tersebut dan terpulang pada penilaian orang lain.
“Saya rasa saya tak perlu jelaskan atau terangkan secara lebih mendalam. Kalau nak tau boleh DM (Direct Message).
“Saya ada insecurities about my body (rasa tidak yakin terhadap tubuh badan saya) kepada diri saya… tapi saya tak nak justify (mengesahkannya). Kalau ada yang perasan, itu terpulang,” katanya.
Diana menjelaskan perkara demikian ketika ditemui semasa majlis pelancaran single terbaharunya, Bersama Dengan Rindu yang berlangsung hari ini.
Soalan berkenaan berdasarkan persoalan peminatnya terhadap perubahan yang berlaku pada hidungnya.
Sementara itu, Diana berkata, single terbarunya iaitu Bersama Dengan Rindu berkonsepkan ‘patah hati’ ditinggalkan orang yang disayangi.
“Lagu Bersama Dengan Rindu ini adalah hasil ciptaan Ezra Kong. Ini juga lagu Bahasa Melayu pertama saya yang dikeluarkan di bawah Universal Music Malaysia.
“Selepas lapan tahun tak keluarkan lagu Bahasa Melayu baharu, saya memilih untuk keluarkan lagu BDR ini sebab saya sukakan melodi dan lirik. Lagu ini menceritakan mengenai cinta yang semakin lama semakin jauh atau renggang.
“Ia menggambarkan perasaan perit apabila kehilangan orang yang dicintai dan harapan yang masih ada walaupun ditinggalkan,” katanya lagi.- MalaysiaGazette