Armizan hadir di Program Bimbingan Usahawan & Sesi Libat Urus Bersama Intermediari Korporat SSM 2023 Peringkat Negeri Johor hari ini

JOHOR BAHRU – Rang Undang-Undang (RUU) untuk meminda Akta Syarikat 2016 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Oktober ini.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ketika ini ia dalam proses akhir sesi libat urus yang membabitkan ahli Parlimen.

“Sebelum ini 13 sesi libat urus telah dilaksanakan dan telah dibentangkan di Kabinet. Jabatan Peguam Negara telah meluluskan draf RRU tersebut. Insya-Alah ada beberapa usaha akhir yang perlu kita lakukan.

“Sesi libat urus akhir yang perlu kita laksanakan dengan ahli-ahli Parlimen dan kemudian sekiranya tidak ada aral melintang kita harap dapat bentangkan RUU pada Oktober ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Program Bimbingan Usahawan & Sesi Libat Urus Bersama Intermediari Korporat SSM 2023 Peringkat Negeri Johor hari ini.

Armizan berkata, dua fokus ditetapkan berkaitan pemimindaan RUU berkenaan.

“Fokus ini ada dua iaitu pertama memperkukuhkan Corporate Rescue Mechanism (CRM) bagi membantu komuniti usahawan yang terkesan perniagaan kerana menghadapi masalah kewangan untuk membolehkan mereka bangkit.

“Langkah ini sejajar diambil dengan apa yang pernah berlaku semasa pandemik Covid-19 yang menyebabkan banyak syarikat gulung tikar.Maka kita melihat hasil maklum balas, suara dan kajian dari apa yang berlaku, maka perlu kita perlu memperkukuhkan CRM ini,” katanya.

Armizan berkata, fokus kedua adalah untuk syarikat mematuhi standard dan piawaian antarabangsa bagi mengukuhkan pelaporan berkaitan beneficial ownership.

Katanya, syarikat mempunyai tanggungjawab untuk memberikan laporan maklumat kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tentang data-data berkaitan beneficil ownership.

“Ini kerana kita mahu syarikat, korporat dan sebagainya mempunyai serta mematuhi amalan tadbir urus good governance, ” katanya.

Langkah itu jelasnya dapat memastikan pihak kerajaan membantu badan penguat kuasa dan penyiasat untuk memudahkan siasatan terhadap wujudnya pihak tertentu yang berselindung untuk melakukan jenayah menggunakan entiti perniagaan.-MalaysiaGazettte