Vellfire hangus terbakar selepas merempuh belakang kereta Audi dalam kejadian berhampiran Kota Raja, Klang awal pagi tadi.IHsan omba Selangor

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu kenderaan mewah jenis Toyota Vellfire melalui detik cemas apabila kenderaan yang dipandunya musnah terbakar selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya hari ini.

Bagaimanapun, pemandu ituberjaya menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa dalam insiden yang berlaku pukul 2.43 pagi hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, insiden itu berlaku di Jalan Perdana Indah berhampiran stesen minyak Petronas di Kota Raja, di Klang, Selangor.

Katanya, pihak bilik operasi bencana bomba negeri telah menerima panggilan mengenai insiden kebakaran dan kemalangan kenderaan itu sebelum sebuah jentera pemadam bersama tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Raja telah dikejarkan ke lokasi untuk tindakan lanjut.

“Sejurus tiba di tempat kejadian itu siasatan awal bomba mendapati kebakaran melibatkan sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire yang hampir musnah.

“Kenderaan Vellfire yang dinaiki seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun dipercayai hilang kawalan dan melanggar di belakang sebuah kereta jenis Audi yang berada di laluan yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Vellfire hangus terbakar selepas merempuh belakang kereta Audi dalam kejadian berhampiran Kota Raja, Klang awal pagi tadi.- Gambar ihsan Bomba Selangor.

Tambah Ahmad Mukhlis, akibat rempuhan kuat itu, Toyota Vellfire telah terbalik dan terbakar sebelum anggota bomba yang bergegas ke lokasi kemalangan terlibat dalam usaha memadamkan kebakaran itu.

“Anggota bomba telah berjaya memadam dan mengawal kebakaran kenderaan itu sepenuhnya pukul 3.10 pagi dan pemandu kereta Vellfire dilaporkan telah berjaya keluar dari kenderaan itu.

“Manakala siasatan mendapati kereta Audi serta pemandunya yang dilanggar belakang oleh Vellfire telah berjaya ditarik oleh orang awam dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut sebelum pihak bomba dengan jentera pemadam tiba ke lokasi kebakaran.

“Kita juga mendapati pemandu kedua-dua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu terselamat tanpa sebarang kecederaan.

“Anggaran kemusnahan kenderaan dalam kebakaran adalah kereta Vellfire musnah 90 peratus dalam insiden tersebut,” ujarnya.

Dalam satu lagi perkembangan insiden kemalangan berasingan di Lebuhraya Pulau Indah, Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang seorang lelaki berusia 20 tahun terselamat selepas kereta jenis Perodua Axia musnah dalam kebakaran dalam kejadian sekitar 2.30 pagi tadi.

Kereta Axia yang musnah dalam kebakaran selepas pemandunya hilang kawalan dan melanggar sebatang pokok di bahu jalan dalam kejadian di Pelabuhan Pulau Indah, Pelabuhan Klang awalpagi tadi.- Gambar ihsan Bomba Selangor.

Mangsa semasa kejadian kereta yang dipandunya dipercayai hilang kawalan dan terbabas di tepi jalan sebelum melanggar sebatang pokok.

“Akibat rempuhan itu, keretanya terbakar sebelum mangsa berjaya keluar menyelamatkan diri daripada rentung tanpa sebarang kecederaan.

“Pasukan bomba dari lokasi berhampiran telah tiba dan berjaya memadamkan api sepenuhnya dan kereta mangsa musnah 95 peratus dalam kejadian tersebut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette