KUALA LUMPUR – Peguam Negara perlu menggugurkan kes terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak jika dokumen mengenai enam pertuduhan ke atas bekas Perdana Menteri dan Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah itu asli.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO menaruh keyakinan kepada Peguam Negara untuk mengkaji semula kesemua pertuduhan itu.
“Saya fikir Peguam Negara hendaklah mengkaji semula pertuduhan-pertuduhan yang telah dibalingkan kepada Datuk Seri Najib Razak
“Jika benar memo itu asli, saya yakin Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan segera bagi menggugurkan pertuduhan-pertuduhan yang dilakukan,” katanya kepada pemberita di Menara Mara, di sini, hari ini.
Terdahulu Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu melakukan walkabout Program Jualan Desa Madani.
Sebelum ini, tular di media sosial dokumen didakwa ‘Memo Dalaman’ Jabatan Peguam Negara oleh pasukan pendakwaan IPIC setebal 12 muka surat bertarikh 10 September 2019 menyentuh berkenaan dengan enam pertuduhan yang dikenakan terhadap Najib dan Mohd. Irwan.
Isi kandungan dokumen itu berbentuk rekomendasi daripada pasukan pendakwaan IPIC yang sebulat suara mengambil pendirian bahawa enam pertuduhan tersebut tidak memenuhi kehendak minimum untuk sesuatu pertuduhan pecah amanah bagi mendapatkan kes prima facie.
Dokumen yang tular tersebut didakwa ditujukan kepada Tan Sri Tommy Thomas selaku Peguam Negara ketika itu.
Ahmad Zahid juga berkata, kepimpinan dan ahli UMNO menaruh keyakinan bahawa penganiayaan yang dikenakan kepada Najib adalah atas arahan kerajaan dan pemimpin terdahulu.
“Ia harus dijadi asas untuk memperlihatkan bahawa the fountain of justice mesti diberikan keutamaan oleh pihak peguam negara.
“Kami mempunyai keyakinan yang penuh kepada kredibiliti dan kemampuan Jabatan Peguam Negara untuk meneliti dan melakukan sesuatu yang lebih positif agar Datuk Seri Najib benar-benar diberikan keadilan,” katanya. – MalaysiaGazette