KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Pengawal Pantai Amerika Syarikat (USGC) menjalani latihan secara bersama di sekitar perairan Laut China Selatan bermula 26 hingga 29 Ogos ini.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasannya (BPPM), Laksamana Muda Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, latihan tersebut bertujuan bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan kedua-dua negara dalam pelbagai aspek berkaitan penguatkuasaan maritim dan keselamatan laut di rantau ini.
“Kerjasama antara Maritim Malaysia dan USCG adalah satu langkah proaktif dalam meningkatkan keselamatan dan keamanan perairan.
”Latihan ini adalah contoh kerjasama erat dalam meningkatkan pengetahuan dan kemahiran para pegawai dari kedua-dua agensi,” jelas Aminuddin menerusi kenyataan ketika sesi latihan di atas kapal USCG, C Munro di sini hari ini.
Sementara itu, Pegawai Kuasa Usaha Kedutaan Amerika Syarikat, Manu Bhalla berkata, sesi latihan bersama simbolik lawatan Munro dialu-alukan oleh negara ini.
“Lawatan oleh Munro hanyalah satu contoh perkongsian kukuh A.S.-Malaysia mengenai keselamatan maritim dan penguatkuasaan undang-undang.
”Bersama-sama, kedua-dua negara kita bekerjasama dalam kesedaran domain maritim, latihan bersama, memerangi penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak terkawal, serta usaha penguatkuasaan undang-undang yang lain.” katanya.
Sementara itu, pegawai memerintah USCGC Munro, Kapten Rula F. Deisher berkata, pihaknya teruja dengan kerjasama yang dijalinkan bersama Maritim Malaysia.
“Kami sangat gembira dengan peluang yang diberikan untuk bekerjasama dengan rakan dari Maritim Malaysia.
”Kami teruja dengan aktiviti bersama di laut yang bakal dilakukan sambil merapatkan jalinan kebolehoperasian kedua-dua belah pihak,” katanya.
Antara latihan yang dilaksanakan oleh kedua-dua negara itu ialah latihan penggeledahan (interdiction) dan Damage Control Fire Fighting (DCFF).
Selain itu katanya Maritim Malaysia juga dijemput untuk membuat lawatan di atas kapal USCGC Munro bagi melihat sendiri keupayaan serta kelengkapan kapal tersebut bertujuan memberikan pendedahan kepada pegawai dan anggota yang terlibat terhadap aspek kesiapsiagaan dan operasi penguatkuasaan maritim.
Menurutnya, dua orang pegawai Maritim Malaysia diberi peluang untuk menyertai ’On-board Training’ bersama UCSGC Munro ialah Leftenan Maritim Nur Hasif Bakhtiar dan Letenan Maritim Muhammad Adlin Shukri masing-masing merupakan Pegawai Pegawai Memerintah KM Sibuan dan Pegawai Operasi KM Pekan.
Jelas Aminuddin, latihan itu sebagai pendedahan pegawai terhadap ilmu kelautan dan navigasi yang lebih mendalam.
Ia sebagai platform untuk mengukuhkan kerjasama antara Maritim Malaysia dan USCG dalam pembangunan kapasiti (capacity building) dan meningkatkan koordinasi bagi memastikan keselamatan perairan sentiasa terpelihara. – MalaysiaGazette