MCA PRN
Chong Sin Woon

KUALA LUMPUR – Hari pengundian bagi Pemilihan Jawatankuasa Pusat Pemuda dan Wanita MCA akan diadakan selama dua hari iaitu 23 dan 24 September, dengan hari penamaan pencalonan ditetapkan pada 11 September depan.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, selepas selesai proses pengundian, pihaknya akan melaksanakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada 21 dan 22 Oktober depan.

“Penamaan calon untuk Pemilihan Jawatankuasa Pusat ditetapkan pada 11 September, bermula dari jam 1 hingga 5 petang dan ia akan diadakan di Dewan San Choon, Wisma MCA, Kuala Lumpur.

“Mengikut kebiasaan, nombor calon di atas kertas undi akan ditentukan secara cabutan sebaik sahaja proses penamaan calon selesai. Sementara itu, hari mengundi untuk Pemilihan Jawatankuasa Pusat bagi Pemuda dan Wanita jatuh pada 23 September.

Sin Woon berkata, sesi pemilihan itu membabitkan sebanyak 5,089 perwakilan pusat yang terdiri daripada MCA (2,278), Pemuda (1,066) dan Wanita (1,745) manakala perwakilan bahagian pula seramai 52,736 orang iaitu 29,151 perwakilan MCA, Pemudia (5,016) dan Wanita (18,569).

“Selain itu untuk Pemuda dan Wanita pula, ia membabitkan 155 TM, termasuk 147 TM Tunggal serta lapan TM Bergabung. Petugas yang terbabit dengan proses pembuangan undi, mengira kertas undi serta memantau adalah seramai 2,979 orang.

“Hanya Perwakilan Bahagian yang perlu bertugas, iaitu terbabit dengan kerja-kerja mengundi, mengira dan memantau, dibenarkan membuang undi lebih awal di Bahagian masing-masing iaitu pada jam 12.30 tengahari, manakala perwakilan Bahagian yang lain hanya boleh membuang undi di antara 2 petang hingga 7 malam.

“Semakan mengenai TM masing-masing serta mencetak Handbill melalui portal rasmi Pemilihan MCA di http://mcape.mca.org.my/ , dengan menekan butang ‘Semakan’, bermula jam 12 tengahari, hari ini” katanya.

Dalam pada itu, Sin Woon berkata, bersempena dengan pemilihan ini, Jawatankuasa Pemandu Pemilihan Ibu Pejabat MCA akan menghantar ‘Notis Mesyuarat Agung Tahunan’ kepada seluruh Perwakilan Pusat MCA, Pemuda dan Wanita, serta ‘Notis Pemilihan Jawatankuasa Pusat bagi MCA, Pemuda dan Wanita’ kepada seluruh Perwakilan MCA Bahagian, Pemuda dan Wanita melalui aplikasi dalam talian.

“Mereka yang berumur 65 tahun ke atas dan tidak mempunyai nombor telefon akan menerimanya melalui surat.

“Saya juga menyeru kepada semua Pengerusi Bahagian dan Cawangan di seluruh negara supaya mengingatkan Perwakilan Bahagian di bahagian masing-masing untuk mengundi tepat pada masanya di TM berkenaan pada hari mengundi.

“Saya juga berharap kepimpinan Bahagian dan Cawangan dapat menggalakkan ahli mereka memberi atau mengemas kini nombor telefon bimbit masing-masing kepada Ibu Pejabat supaya menerima maklumat terbaharu daripada parti,” katanya.

“Selepas Pemilihan Jawatankuasa Pusat disempurnakan pada 23 dan 24 September, Pemuda dan Wanita akan mengadakan AGM masing-masing pada 21 Oktober, manakala AGM untuk MCA pula akan diadakan pada hari berikutnya, iaitu 22 Oktober, bertempat di Wisma MCA, Kuala Lumpur,” katanya. – MalaysiaGazette