Rais (kanan) ditemani Chert Fong (tengah) melihat ruangan farmasi kucing di Cat Supermarket, Taman Paya Rumput di sini hari ini.

MELAKA – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Pejabat Daerah Dan Tanah Alor Gajah (PDTAG) diarah menyiasat isu caj RM10 untuk sewaan tapak dan joran di pantai peranginan Pengkalan Balak, Masjid Tanah.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin berkata, ia susulan beliau mendapat aduan berlakunya situasi itu sehingga menimbulkan rungutan dalam kalangan pelancong tempatan.

“Saya dah minta MPAG melihat aduan ini sebab kadang-kadang tanah ini milik individu cuma kita tak mahulah mereka ini kenakan caj yang tak munasabah dan sebagainya.

“Kita akan adakan perbincangan bersama Pejabat Tanah (PDTAG) untuk wujudkan situasi menang-menang supaya ia tidak mengundang gelisah pengunjung ke lokasi tumpuan ramai ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Cat Supermarket dan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat di Taman Paya Rumput, di sini hari ini.

Rais Yasin

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Cat Supermarket, Datuk Chew Chert Fong.

Mengulas lanjut Rais berkata, beliau berharap lebih ramai syarikat besar menganjurkan program CSR membantu golongan memerlukan atas semangat perpaduan khususnya pada Bulan Kemerdekaan.

“Seperti dilakukan Cat Supermarket hari ini mereka menyumbang RM2,000 kepada Persatuan Kanser Malaysia sempena pembukaan cawangan ke tiga di Melaka,” katanya.

Sementara itu, Chert Fong berkata, pembukaan pasar raya itu ia melibatkan pelaburan hampir RM10 juta dan menyasarkan untuk membukan cawangan baharu di Kuala Lumpur tahun depan. – MalaysiaGazette.