Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ‘menegur’ seorang penganalisas politik yang mendakwa Undi 18 sebagai kejayaan besar Pas.

Menurut Syed Saddiq, Undi 18 adalah dasar bukan partisan dan tidak terhad kepada parti politik tertentu.

Undi 18 dilaksanakan melangkaui garis parti dan tidak didorong oleh kepentingan parti tertentu.

Katanya, dasar tersebut menggariskan hak sedia ada kepada belia untuk mengundi iaitu satu aspek asas terhadap hak demokrasi mereka dan Undi18 ialah representasi komitmen tersebut

Ahli Parlimen Muar itu mahu, setiap pihak mengelak daripada menyalahkan pengundi muda atas pilihan yang mereka lakukan ketika pilihan raya.

“Sebaliknya, tumpuan kita harus tertumpu pada penglibatan yang bermakna, berusaha untuk memahami kebimbangan dan aspirasi pengundi muda.

“Kedudukan kita adalah menjadi suara perubahan mereka, bukan untuk menegur mereka apabila keputusan tidak selari dengan jangkaan kita,” kata Syed Saddiq.

Beliau mengulas ciapan Penganalisis politik James Chin yang bersetuju dengan sebuah laporan media bertajuk ‘Young voters not necessarily progressive; academic says’ (‘Pengundi muda tidak semestinya progresif; kata akademik).

Dalam ciapannya, James Chin berkata, badan bukan kerajaan yang mempromosi Undi 18 kini berdiam diri.

“Betul. NGO yang mempromosikan pendaftaran U18 dan automatik semuanya berdiam diri. Undang-undang baru itu dianggap sebagai kemenangan besar oleh mereka.

“Ya, ia adalah kejayaan besar bagi Pas dan #politicalIslam. Kemudaratan itu tidak boleh diperbaiki. Sekarang, apa yang boleh kita lakukan?” tanya Pensyarah University Tasmania, Australia itu.

Keratan layar ciapan James Chin di Twitter.

Sementara itu Syed Saddiq mengingatkan, pelaksanaan Undi 18 bukan diputuskan oleh individu.

Sebaliknya, ia adalah keputusan yang dibuat secara kolektif dan mendapat sokongan sebulat suara oleh semua ahli Parlimen.

Kejayaan meluluskan Undi 18 merupakan komitmen demokrasi untuk mencerminkan dan melayani kepentingan semua rakyat Malaysia.

“Semasa kita memikirkan, kita mungkin bertanya sama ada kita akan menganggap Undi 18 berjaya jika ia menghasilkan undian untuk MUDA atau PH.

“Jika jawapannya ya, perlu dipertimbangkan sama ada motivasi kita benar-benar tertumpu kepada pembaharuan atau sebaliknya didorong oleh kepentingan diri sendiri,” tanya Syed Saddiq penuh sindiran.

Syed Saddiq adalah antara ahli politik paling ke hadapan mahu golongan berusia 18 tahun diberikan hak untuk mengundi. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Kibbutz mengundi di tanah rizab Melayu sebijik seperti kibbutz mengundi di Singapore supaya kibbutz mengundi di Palestine demi a two-state solution ooii!

  2. pengundi U18 telah berfikir yang mana baik PILIHAN mereka so mereka akan UNDI. Mungkin tidak sampai 30% mengundi DAP PKR UMNO atau mungkin ada Pusat Mengundi SALURAN itu tidak mengundi PAS 100% jadi ini bukan satu “tindakan” perlu dipersalahkan kepada parti tertentu. Pengundi adalah bebas memilih.

Comments are closed.