KUALA LUMPUR – Pesawat-pesawat tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan terbang rendah di ruang udara Pangkalan Udara Kuantan dan sekitar Pahang berikutan pelaksanaan latihan penerbangan taktikal yang dilakukan pasukan keselamatan itu pada 29 Ogos hingga 4 September ini.
Menurut kenyataan Bahagian Perhubungan Awam TUDM, latihan tersebut bertujuan menilai kecekapan anak kapal TUDM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pasukan sokongan logistik dalam kebersamaan latihan dan kebolehoperasian melaksanakan tanggungjawab melindungi kedaulatan negara.
“Sepanjang latihan berlangsung pesawat-pesawat udara tentera yang terlibat akan melaksanakan penerbangan taktikal secara rendah di kawasan-kawasan tertentu khususnya di ruang udara Pangkalan Udara Kuantan dan sekitar negeri Pahang,” katanya.
Menurut kenyataan itu, latihan tersebut juga akan menilai keberkesanan pelaksanaan tugas operasi bersama yang melibatkan pesawat-pesawat daripada pelbagai kategori seperti pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter.
Berikutan itu, TUDM meminta orang ramai agar tidak cemas dan risau sekiranya melihat pesawat-pesawat tentera terbang rendah sepanjang tempoh latihan dilaksanakan. – MalaysiaGazette