ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid

PETALING JAYA – Berang akibat sering dihina kerana tidak bekerja dan dimarahi mengambil minuman keras, menjadi motif kepada kes seorang bapa dibunuh anak lelakinya dalam kejadian di Bandar Sunway, di sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata teguran itu, membuatkan suspek tidak berpuas hati lalu mengambil tindakan memukul kepala dan bahagian anggota badan bapanya, dipercayai menggunakan penyodok pasir hingga menyebabkan kematian.

“Mayat lelaki berusia lingkungan 70-an itum kemudian ditemukan ahli keluarga terdekat di tepi jalan PJS 10/24 pada kira-kira 2.15 pagi dan kematiannya disahkan petugas perubatan dari Pusat Perubatan Universiti Malaya, yang tiba di lokasi kejadian.

“Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan suspek warga tempatan berusia 40-an pada hari sama (Sabtu) di Jalan PJS 10/9A, Bandar Sunway pada 9.10 pagi,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, mayat lelaki warga emas itu ditemukan ahli keluarga dengan dibaluti kain langsir di tepi jalan di sekitar jalan PJS10.

Beliau berkata susulan penahanan itu, polis merampas sebatang penyodok pasir dan sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan suspek untuk membawa mayat bapanya, untuk dibuang ke lokasi kejadian.

Suspek direman tujuh hari sehingga 2 Sept depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast