chicken ceiling price subsidy
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Harga ayam di pasar basah, pasar raya besar, pasar raya, pasar raya mini dan kedai runcit di seluruh negara menunjukkan penurunan sebanyak 0.33 peratus sejak 12 Ogos hingga 26 Ogis 2023, kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menurutnya, berdasarkan pemantauannya di hampir 1,500 premis mendapati harga purata ayam standard di Semenanjung pada 12 Ogos 2023 iaitu RM8.73/kg menurun kepada RM8.70/kg pada 26 Ogos 2023.

Manakala di Sabah dan Sarawak juga menunjukkan penurunan harga purata iaitu masing-masing sebanyak 0.12% (Sabah) iaitu dari RM11.30/kg kepada RM11.29/kg dan turun sebanyak 0.47% (Sarawak) iaitu dari RM10.28/kg kepada RM10.23/kg bagi tempoh yang sama.

Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh berkata, ayam bulat standard dan super adalah masih di bawah harga kawalan yang ditetapkan oleh kerajaan sejak 12 Oktober 2022
dan masih berkuatkuasa hingga ke hari ini.

Harga ayam standard ialah RM9.40/kg dan Harga Ayam Super ialah RM10.40/kg di Semenanjung Malaysia.

Oleh itu, adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 jika seseorang peniaga menjual ayam standard dan ayam super melebihi dari Harga Kawalan yang telah ditetapkan.

“Jika disabitkan kesalahan di bawah AKHAP 2011, individu boleh dikenakan denda (seksyen18) tidak melebihi RM 100,000 atau di penjara selama tempoh tidak lebih dari 3 tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya, denda tidak melebihi RM250,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya. Sekiranya kesalahan dilakukan oleh syarikat pula denda tidak lebih dari RM500,000 dan kesalahan kali kedua atau berikutnya tidak melebihi RM1 juta,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau mengulas laporan media yang mendakwa harga yang yang turun naik serta merujuk statistik Indeks Harga Pengguna bulan Februari sedangkan data terbaharu sehingga Julai sudah pun dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Malaysia

Fuziah berkata, harga purata ayam standard di pasaran pada bulan Februari 2023 adalah stabil pada harga kawalan dan trend penurunan mula dilihat mulai Julai sehingga Ogos 2023 dengan harga purata terendah dicatatkan pada 4 ogos 2023 di Semenanjung iaitu RM8.11/kg.

Selari dengan itu juga, kadar inflasi terus mereda beserta dengan Indeks Harga Pengguna berada dalam jajaran menurun.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru pengguna untuk menjadi pengguna yang bijak dengan membuat perbandingan harga terlebih dahulu sebelum berbelanja. Untuk itu, pengguna disarankan untuk menggunakan aplikasi PriceCatcher untuk mendapatkan maklumat terkini harga barangan keperluan harian di premis jualan di kawasan anda.

“Pengguna juga boleh memainkan peranan dan menggunakan hak pengguna dalam menyalurkan maklumat dan aduan sekiranya didapati peniaga yang tidak patuh kepada harga kawalan. Sekiranya ada di dapati peniaga yang tidak patuh kepada harga kawalan, maka pengguna boleh juga membuat aduan kepada KPDN,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast