Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Semua pengamal media di negara ini akan menerima rebat sebulan bil telefon bimbit pada September ini.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, Insentif Rebat Rahmah Pengamal Media berkenaan dijangka memanfaatkan lebih 10,000 pengamal media yang memiliki  Kad Perakuan Media Jabatan Penerangan Malaysia.

Menurut beliau, ia sebagai penghargaan sumbangan media yang membantu memperjelaskan Inisiatif Rahmah yang digerakkan Kerajaan Perpaduan.

“Perincian lanjut akan diumumkan kemudian setelah selesai penyelarasan dengan telco-telco terlibat iaitu TM (Unifi Mobile), CelcomDigi, Maxis, U Mobile dan YTL Communications (Yes),” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Pakej 5G Rahmah dan Insentif Pascabayar Rahmah Penjawat Awam, di sini, hari ini.

Menurut beliau, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dengan syarikat-syarikat telco yang terlibat masih berbincang mengenai pakej-pakej yang sesuai dan boleh ditawarkan kepada pengamal media.

Dalam majlis yang sama, Fahmi memaklumkan Pakej 5G Rahmah bermula 31 Ogos.

Manakala Insentif Pascabayar Rahmah Penjawat Awam pada 16 September 2023.

Jelas beliau, Pakej 5G Rahmah merupakan pakej telefon pintar 5G bersama-sama pelan data disertakan tawaran pilihan telefon pintar sama ada jenama Samsung A14 5G atau Honor 90 Lite 5G berharga tidak melebihi RM240 berserta pelan pascabayar serendah RM60 sebulan dengan data minimum 60GB.

Fahmi berkata, tempoh waranti keseluruhan bagi pakej tersebut selama 24 bulan.

“Sebagai contoh telco boleh menyediakan harga telefon pintar yang lebih rendah daripada RM240 atau bayaran bulanan pelan pascabayar yang lebih rendah daripada RM60 atau kuota data yang lebih banyak daripada 60GB sebulan.

“Saya difahamkan ada dalam kalangan syarikat telekomunikasi yang akan menawarkan Pakej 5G Rahmah dengan harga serendah RM35 untuk data 100GB berserta peranti 5G,” jelasnya.

Selain itu, katanya, Insentif Pascabayar Rahmah Penjawat Awam pula menawarkan rebat RM10 sebulan untuk tempoh 12 bulan bagi pakej pascabayar yang bernilai RM60 dan ke atas.

Tawaran berkenaan khusus buat penjawat awam Malaysia (Kerajaan Persekutuan/ negeri/ pihak berkuasa tempatan). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast