Menteri Pengangkutan Anthony Loke menunjukkan contoh Bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) sempena Sambutan Hari Kemerdekaan di Kementerian Pengangkutan Malaysia, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 29 OGOS 2023.

PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuka bidaan bagi nombor pendaftaran istimewa (NPI) M _ M sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke,  bidaan dibuka bermula Khamis ini hingga 4 September dengan menawarkan huruf M di hadapan dan belakang bagi membawa maksud ‘Malaysia Merdeka’.

“Mereka boleh ke Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) yang dibuka 31 Ogos ini bermula jam 12.01 pagi dan pemenang diumumkan pada 5 September,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Anthony menambah, nombor emas akan bermula daripada RM20,000 manakala bidaan terendah pada RM300.

Semua bidaan yang berjaya mesti mendaftarkan nombor baharu mereka dalam tempoh 12 bulan.

Sehubungan itu, beliau berharap inisiatif berkenaan yang turut membawa maksud ‘Malaysia Madani’ dapat menjana pendapatan kerajaan selepas bidaan siri khas sebelum ini berjaya mengumpul RM34.3 juta.

“Kali terakhir kami lancarkan ialah ‘FF’ pada Januari lalu dan hasilnya kita peroleh lebih RM30 juta. Kali ini dengan nombor plat M dan M, saya fikir ada banyak makna yang boleh dimaksudkan, Money Matters pun boleh.

“Ada juga begitu banyak nama dengan yang boleh dimaksudkan dengan ‘MM’ dan saya rasa anda tahu siapa, anda tafsirlah sendiri,” ujar Anthony secara berseloroh. – MalaysiaGazette