Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media selepas Majlis Makan Malam bersama Duta-duta Pertubuhan Organisasi Kerjasama Islam (OIC) di Hotel Le Meridien, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 29 OGOS 2023.

PUTRAJAYA – UMNO tidak akan menjalinkan semula kerjasama politik dengan parti yang tidak mempunyai keikhlasan untuk menjayakan Muafakat Nasional (MN) hingga tergendala sebelum ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana bekas rakan politik UMNO itu penuh muslihat dan mempunyai agenda terselindung.

“Kerjasama itu harus datang daripada keikhlasan, bukan daripada manipulasi dan beberapa tindakan sangat tidak dialu-alukan kerana mereka penuh dengan muslihat.

“Mana-mana pemimpin dan parti yang sangat bermuslihat, saya tidak fikir kita harus sambung balik dengan hubungan itu,” katanya kepada pemberita di Le Meridien Hotel, di sini, malam ini.

Terdahulu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menggesa UMNO bekerjasama semula dengan Pas untuk mengembalikan semula MN.

Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu juga mahu menganjurkan majlis “Himpunan Melayu Bangkit” di Kampung Gajah, Pasir Salak, Perak, Rabu ini. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. perlu keikhlasan UMNO dengan PAS PN boleh berkerjasama tapi ZAHID HAMIDI dan kuncu-kuncunya tidak diperlukan kerana puak-puak ini adalah SI KITOL. akarumbi UMNO boleh membentuk kerjasama itu.

Comments are closed.