KUALA LUMPUR – Para peniaga meramalkan keadaan perniagaan yang bertambah baik untuk suku tahun ketiga 2023 dengan petunjuk keyakinan positif iaitu 0.7 peratus berbanding -3.1 peratus pada suku tahun kedua 2023.
Jabatan Statistik berkata, prestasi ini disokong antaranya kestabilan pasaran pekerjaan, peningkatan dalam pelancongan domestik dan jangkaan yang lebih optimis dalam industri pelancongan kesihatan.
Pada suku tahun ketiga 2023, jangkaan perniagaan positif disokong oleh sektor perkhidmatan dan industri.
Sektor perkhidmatan terus optimis terhadap prospek perniagaan dengan petunjuk keyakinan +6.1 peratus berbanding +3.9 peratus pada suku tahun sebelumnya.
Pada masa yang sama, sentimen dalam sektor industri melonjak kepada trajektori positif dengan mencatatkan +1.3 peratus berbanding -2.1 peratus pada suku tahun kedua 2023.
Persepsi yang lebih baik dalam sektor industri disokong oleh dua sub-sektor, iaitu pertanian dan perlombongan, yang mana kedua-duanya menjangkakan keadaan perniagaan yang menggalakkan dalam suku tahun rujukan.
Sebaliknya, sektor pembinaan terus menjangkakan keadaan perniagaan yang negatif dengan petunjuk keyakinan -26.9 peratus pada suku tahun ketiga 2023.
Begitu juga, sektor perdagangan borong & runcit kekal pesimis dengan petunjuk keyakinan yang lebih baik -1.5 peratus pada suku tahun rujukan daripada
-10.2 peratus pada suku tahun kedua 2023.
Melihat kepada sentimen perniagaan untuk enam bulan akan datang berakhir Disember 2023, peniaga kekal optimis, meskipun dengan imbangan bersih yang lebih
rendah iaitu +13.9 peratus daripada +14.9 peratus direkodkan sebelum ini.
Tinjauan positif disokong merentas semua sektor, menunjukkan keadaan perniagaan yang bertambah baik dalam tempoh yang diramalkan.
Sektor perkhidmatan menjangkakan situasi perniagaan yang menggalakkan dalam enam bulan akan datang dengan imbangan bersih +27.0 peratus berbanding +30.1 peratus
yang dicatatkan bagi tempoh April hingga September 2023.
Begitu juga, sektor industri menjangkakan keadaan perniagaan yang lebih baik dengan imbangan bersih +9.7 peratus berbanding +15.6 peratus.
Di samping itu, sektor perdagangan borong & runcit dan pembinaan bertukar optimis terhadap situasi perniagaan bagi separuh kedua 2023.
Sentimen dalam sektor perdagangan borong & runcit meningkatdengan imbangan bersih +7.2 peratus dibantu oleh prospek yang lebih baik dalam
sub-sektor perdagangan borong.
Sektor pembinaan turut meramalkan keadaan perniagaan yang positif dengan imbangan bersih +2.6 peratus berbanding -7.7 peratus yang dicatatkan sebelum ini. – MalaysiaGazette