Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Aset rizab antarabangsa Malaysia berjumlah AS$112.94 bilion (US$1=RM4.64) setakat akhir Julai 2023 manakala aset mata wang asing lain berjumlah US$1.7 juta, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Dalam kenyataan hari ini, BNM berkata, mengikut format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), butiran terperinci rizab antarabangsa memberikan maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab serta aset mata wang asing lain.

Ia turut memberi panduan mengenai jangkaan dan prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi kerajaan Persekutuan dan BNM untuk tempoh 12 bulan akan datang, menurut bank pusat itu.

“Bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti, deposit mata wang asing termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negera oleh Kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank dalam mata wang asing BNM berjumlah AS$15.64 billion.

““Kedudukan jualan hadapan bersih adalah sebanyak AS$24.30 bilion pada akhir Julai 2023, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang,” katanya.

BNM berkata, seiring dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek.

Katanya, unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah AS$2.37 bilion untuk tempoh 12 bulan akan datang, satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan Kerajaan bagi hutang luar negara dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah AS$369.5 juta.

“Rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen serta tidak mempunyai kemudahan kredit tanpa syarat yang belum digunakan yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.

“BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” katanya. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast