GEORGE TOWN – Karya Imam Nawawi yang memuatkan sebanyak 42 hadis sahih memberi fokus terhadap prinsip-prinsip akidah (kepercayaan) dan beberapa hukum syarak untuk diterapkan dalam kehidupan peribadi seorang Muslim termasuk dalam hubungan sosial.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, ilmu hadis memerlukan pengkhususan untuk menguasainya supaya tidak difahami di luar konteksnya.
Jelas beliau, ilmu itu mempunyai metodologi tersendiri, antaranya ada yang bersifat umum pada zahir tetapi maksud sebenarnya adalah khusus.
“Antara isi yang terkandung dalam hadis Imam Nawawi itu termasuk menerangkan rukun Islam yang kelima, galakan memakan makanan halal, berkasih sayang, kepentingan sifat malu dan larangan berhasad dengki.
“Selain itu, hadis berkenaan turut menekankan larangan membunuh manusia tanpa sebab yang dibenar kan dalam agama, berserah nasib kepada Allah SWT, perintah menahan perasaan marah, kelebihan mengingati Allah menerusi zikir serta mengagalkan perkara-perkara kebajikan sekali gus menjauhi kemungkaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kementerian Pendidikan dalam kenyataan pada 25 Ogos lalu memaklumkan program rintis Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi akan dilaksanakan dengan melibatkan guru dan murid beragama Islam di 61 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan 228 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) seluruh negara.
Sementara itu, mengulas mengenai hadis ke lapan dalam karya Imam Nawawi yang kini menjadi isu apabila ia menyebut Nabi Muhammad SAW telah diperintahkan memerangi/melawan manusia sehingga mereka bersaksi tiada tuhan melainkan Allah SWT, Wan Salim berkata, prinsip umum Islam adalah tiada paksaan dalam menganut agama Islam seperti yang disebut dengan jelas di dalam al-Quran.
“Justeru ramai ulama berwibawa berpendapat bahawa perintah ini adalah ditujukan khas kepada golongan musyrik Quraish yang memusuhi Nabi Muhammad SAW dan menentang agama Islam.
“Kita sedia maklum bahawa umat Islam tidak dibenarkan membunuh ahli kitab (orang Yahudi dan Kristian) selagi mereka membayar jizyah atau cukai perlindungan untuk mengimbangi jihad yang diwajibkan ke atas umat Islam.
“Begitu juga umat Islam dilarang membunuh orang bukan Islam yang memeterai perjanjian kedamaian atau genjatan senjata dengan mereka. Malah, umat Islam juga diwajibkan memberi perlindungan kepada bukan Islam yang memohon suaka untuk diri dan keluarganya,” katanya.
Tambah Wan Salim, perjanjian damai antara umat Islam dan golongan bukan Islam membuatkan terbatalnya perintah berperang.
“Ini yang berlaku pada zaman kini iaitu apabila termetrainya perjanjian damai antara negara-negara Islam dan negara-negara lain.
“Negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan menganut agama berbeza seperti Malaysia mengamalkan hubungan sosial berdasarkan perkongsian tanahair (Al-Muwathanah).
“Ini akan difahami apabila seluruh warganegara akur kepada rukun negara, menerima Islam sebagai agama persekutuan dan sebagainya,” jelas beliau. – MalaysiaGazette