Petugas unit vektor Jabatan Kesihatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan kerja-kerja penyemburan asap di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Menara City One untuk mencegah pembiakan nyamuk Aedas ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Jumlah kes demam denggi antara 13 hingga 19 Ogos 2023 menurun 239 kes kepada 2,248 kes berbanding 2,487 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan itu sebanyak 75,928 kes berbanding 35,330 kes bagi tempoh sama tahun 2022, iaitu peningkatan sebanyak 40,598 (115%).

Manakala sejumlah 54 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 22 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2022.

Bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada minggu ini adalah 74 lokaliti berbanding 73 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.

Dari 74 lokaliti yang dilaporkan, 53 lokaliti di Selangor, 17 lokaliti di Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan (2) dan masing-masing satu di Sabah dan Perak.

Bagi survelan chikungunya, empat kes telah direkodkan pada minggu tersebut dengan jumlah kumulatif kes sehingga kini adalah 156 kes.

Bagi survelan zika, sebanyak 2,026 sampel darah dan 153 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif. – MalaysiaGazette