Wisma Putra
Bangunan Wisma Putra di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar Negeri melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Abuja mengesahkan kesemua rakyat Malaysia di Gabon yang berdaftar dengannya berada dalam keadaan yang selamat.

Pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Abuja sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan perkembangan terkini di Gabon.

Rakyat Malaysia yang memerlukan sebarang bantuan konsular boleh berhubung dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Abuja di butiran seperti di bawah:
Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Abuja
No. 4A, Plot 2232 B, Rio Negro Close
Off Yedseram Street, Maitama
Abuja, Nigeria
Telefon : +234 92908488 atau +234 7031365197 (Pegawai Bertugas)
E-mel : [email protected]

Sebarang perkembangan terkini mengenai insiden ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Presiden Gabon, Ali Bongo Ondimba diletakkan “di bawah tahanan rumah,” dan junta tentera mengisytiharkan kerajaan telah digulingkan dalam rampasan kuasa pada Rabu.

Pihak tentera turut membatalkan keputusan pilihan raya Sabtu lalu, yang menyaksikan Ali Bongo diumumkan sebagai pemenang.

Suruhanjaya pilihan raya sebelum ini berkata, Bongo memenangi kurang dua pertiga daripada undian dalam pilihan raya yang disifatkan pembangkang sebagai penipuan.

Ali Bongo kini ditahan bersama keluarga dan doktornya, lapor Agensi Anadolu.

Kerajaan tentera yang dikenali Jawatankuasa Peralihan dan Pemulihan Institusi (CTRI) merampas kuasa dan mengecam kerajaan gagal dalam melaksankan tadbir urus secara bertanggungjawab dan mengakibatkan kemerosotan berterusan dalam perpaduan sosial yang berisiko membawa negara ke kancah huru-hara. – MalaysiaGazette