Pengisytiharan rampasan kuasa di Gabon dibuat oleh tentera.

ABUJA – Seramai 12 askar yang muncul di televisyen nasional di Gabon, mengisytiharkan telah mengambil alih kuasa selepas membatalkan keputusan pilihan raya Sabtu lalu.

Dalam pilihan raya itu, Presiden Ali Bongo diumumkan sebagai pemenang.

Tentera juga telah membubarkan semua institusi di republik tersebut.

Pegawai tentera kemudian berkata, Bongo telah diletakkan di bawah tahanan rumah dan salah seorang anak lelakinya ditangkap kerana berlaku pengkhianatan.

Penggulingan Ali Bongo akan menamatkan kekuasaan keluarganya selama 53 tahun di Gabon.

Gabon adalah salah satu pengeluar minyak utama Afrika, manakala hampir 90% negara diliputi oleh hutan.

Ia menyertai Komanwel pada Jun 2022, menjadi salah satu daripada beberapa ahlinya yang tidak pernah menjadi tanah jajahan British.

Suruhanjaya pilihan raya telah berkata, Bongo telah memenangi hanya di bawah dua pertiga daripada undi dalam pilihan raya yang dihujahkan pembangkang sebagai penipuan.

Susulan rampasan kuasa itu, sempadan negara ini telah ditutup “sehingga diberitahu kelak”.

Mereka berkata, Bongo akan digantikan oleh ketua pengawal presiden iaitu Jeneral Brice Oligui Nguema, dan pegawai tertentu akan “menjawab tindakan mereka” berikutan siasatan oleh “pihak berkuasa yang berwibawa”.

Ini adalah rampasan kuasa kelapan di bekas jajahan Perancis di Afrika dalam tempoh tiga tahun lalu.

Kerajaan Perancis telah mengecam pengambilalihan itu, dengan seorang jurucakap menyeru agar keputusan pilihan raya dihormati.

“Perancis memantau dengan teliti perkembangan situasi di lapangan,” kata Olivier Veran.

Rusia dan China adalah antara negara lain yang menyatakan kebimbangan mereka.

Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah berkata pengambilalihan tentera akan meningkatkan ketidakstabilan di Afrika.

“Ini adalah isu besar untuk Eropah,” kata Josep Borrell.

Sementara itu, kumpulan perlombongan Perancis Eramet, yang menggaji beribu-ribu pekerja di Gabon, berkata, ia telah menghentikan semua kerja di negara itu atas sebab keselamatan.

Tentera yang mengumumkan rampasan kuasa itu berkata, mereka adalah daripada Jawatankuasa Peralihan dan Pemulihan Institusi dan mewakili pasukan keselamatan dan pertahanan di negara ini.

Salah seorang tentera berkata: “Kami telah memutuskan untuk mempertahankan keamanan dengan menamatkan rejim semasa.”

Ia tambahnya, disebabkan “tadbir urus yang tidak bertanggungjawab, tidak dapat diramalkan yang mengakibatkan kemerosotan berterusan dalam perpaduan sosial yang berisiko membawa negara ke dalam huru-hara”.

Bunyi tembakan kuat kedengaran di ibu negara, Libreville, selepas siaran itu. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast