KUALA LUMPUR – CIMB Group Holdings Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang lebih baik kepada RM1.77 bilion pada suku kedua (S2) berakhir 30 Jun, 2023, daripada RM1.28 bilion setahun sebelumnya berdasarkan peningkatan kukuh dalam pendapatan bukan faedah (NOII).
Hasil meningkat kepada RM5.33 bilion daripada RM4.88 bilion sebelumnya, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Bank itu berkata, pendapatan operasi meningkat 9.2 peratus kepada RM5.33 bilion hasil NOII yang kukuh dan pendapatan faedah bersih (NII) yang agak rendah.
Mengenai segmen perbankan komersial, CIMB berkata keuntungan sebelum cukai (PBT) melonjak 34.4 peratus tahun ke tahun (y-o-y) kepada RM426 juta didorong oleh pendapatan operasi yang lebih baik dan peruntukan yang lebih rendah daripada tindanan masuk kira semula.
Sebaliknya, PBT perbankan pengguna jatuh 6.5 peratus daripada NOII yang lebih rendah, sebahagiannya diimbangi oleh NII yang lebih baik, dan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi (opex); manakala PBT perbankan borong susut 2.6 peratus kerana peruntukan lebih tinggi daripada ketiadaan masuk kira semula pendedahan derivatif.
Sementara itu, dalam satu kenyataan CIMB berkata jumlah pinjaman kasar dan pertumbuhan deposit terus berada pada trajektori menaik pada separuh pertama tahun kewangan 2023 (1H TK2023), masing-masing mencatatkan peningkatan 8.3 peratus dan 9.5 peratus tahun ke tahun, merentas pasaran utama dan segmen perniagaan.
Sementara itu, jumlah akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) menguncup sedikit tahun ke tahun tetapi bertambah baik kepada 5.7 peratus pada asas suku tahunan didorong oleh inisiatif serantau yang mula membuahkan hasil.
“Ini membawa kepada nisbah CASA yang mampan sebanyak 38.5 peratus pada akhir Jun 2023,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata bank berbesar hati untuk meningkatkan dividen interim kepada 17.5 sen sesaham, mewakili nisbah pembayaran sebanyak 55 peratus — peningkatan daripada 50 peratus pada 1H TK2022 — dalam keadaan kedudukan modal, pembiayaan dan kecairan kumpulan yang kukuh.
Portfolio Asean yang dipelbagaikan juga menunjukkan keputusan positif, dengan pertumbuhan dipacu daripada operasi di Indonesia dan Singapura yang dibentuk semula yang melindungi kumpulan daripada risiko menurun dalam pasaran yang lebih lemah, katanya.
“Kami amat gembira dengan transformasi CIMB Niaga, yang mencapai rekod pulangan tertinggi ke atas ekuiti sebanyak 15.4 peratus untuk 1H TK2023,” katanya merujuk kepada francais perbankan kumpulan itu di Indonesia.
Abdul Rahman berkata, CIMB mengambil sikap berhati-hati untuk baki tahun ini memandangkan ketidaktentuan ekonomi global masih berterusan.
“Bagaimanapun, kami menjangkakan pasaran Asean, tempat yang mana kami beroperasi, akan kekal berdaya tahan, disokong oleh dasar ekonomi negara serantau dan permintaan kukuh untuk pelancongan dan perkhidmatan.
“Sehubungan itu, kami optimis untuk meneruskan momentum prestasi kewangan yang positif yang mana kami kini berada di landasan untuk memenuhi sasaran TK2023 kami merentasi semua metrik keuntungan,” katanya. – BERNAMA