Ahmad Dusuki Abdul Rani

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Ahmad Dusuki Abdul Rani menafikan beliau kalah selepas menarik balik rayuan berhubung saman fitnah ke atas bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, Isnin lalu.

Menerusi hantaran ringkas di Facebook, penceramah bebas itu sebaliknya berkata, telah berjaya menyelamatkan tanah ladang dan harta pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) bernilai ratusan juta ringgit.

“Saya kalah? Tak, saya berjaya menyelamatkan hampir RM300 juta nilaian tanah ladang harta pendeposit TH.

“Ia dibayar sebagai deposit oleh syarikat Tamaco Sdn Bhd yang dijual ketika pentadbiran Pakatan Harapan, tetapi dibatalkan di era Perikatan Nasional,” katanya dilaman sosial itu, hari ini.

Semalam, media melaporkan Mujahid yang juga Naib Presiden Amanah menyifatkan episod fitnah berhubung aset TH dijual kepada orang bukan Islam, kini berakhir.

Ia susulan tindakan Ahmad Dusuki yang menarik balik rayuannya berhubung saman fitnah terhadap bekas Ahli Parlimen Parit Buntar itu di Mahkamah Rayuan di Putrajaya, Isnin lalu.

Rayuan Ahmad Dusuki itu membabitkan isu di sebalik penjualan aset TH dan berkaitan ciapannya: “Seorang ustaz berdusta, berpuluh ribu jadi mangsa, berlagak tahu segalanya akhirnya telan api fitnah dalam perut dia sendiri, hingga kini tak pernah tarik balik pendustaannya. Allahu mustaan.”

Susulan penarikan balik rayuan itu pada Isnin lalu, Ahmad Dusuki diperintahkan membayar kos RM5,000.- MalaysiaGazette