Beh Zeng Kang menerima anugerah berprestij.

SINTOK – Aktivis alam sekitar yang juga mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) mencatat kejayaan membanggakan apabila dianugerahkan ‘2nd ASEAN Youth Eco-Champions Award (AYECA) 2023’ di Ventianne, Laos baru-baru ini.

Pelajar Ijazah Sarjana Hubungan Antarabangsa, Beh Zeng Kang dari Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS) mewakili Malaysia bagi kategori senior (26 – 35 tahun) menerima anugerah bertaraf antarabangsa yang diiktiraf ASEAN di bawah inisiatif Asean Working Group On Environmental Education (AWGEE).

Anugerah ini mengiktiraf warga muda Negara Anggota ASEAN (AMS) yang menyumbang secara signifikan kepada alam sekitar seperti dalam bidang pengurusan dan pengurangan sisa, perubahan iklim dan kecekapan tenaga, kebersihan awam, pemuliharaan air dan pemuliharaan biodiversiti.

“Penganugerahan ini merupakan satu pengiktirafan bertaraf antarabangsa di peringkat ASEAN dan berprestij, semestinya saya amat teruja untuk berkongsi kejayaan ini bersama keluarga, sahabat, pensyarah dan semua pihak yang memberi sokongan.

“Saya percaya peranan dan tanggungjawab yang digalas lebih besar selepas ini. Saya tidak berjuang demi anugerah tetapi semangat yang perlu dijiwai serta menyebarkan amalan murni ini secara meluas dan tekun dalam pelaksanaan gerak kerja, visi dan misi pemerkasaan alam sekitar,” katanya.

Anugerah ini juga bertujuan mengiktiraf jenis dan sumbangan belia yang menyumbang secara produktif dalam agenda pemerkasaan dan pemeliharaan kelestarian alam selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).

Menurutnya, pada zaman kontemporari ini, dunia sentiasa berdepan dengan cabaran di luar jangkaan dan perubahan iklim berlaku pada bila-bila masa. Apa yang kelihatan bahawa keadaan rupa bentuk muka bumi sedia ada dan keadaan persekitaran alam adalah dalam situasi yang ironik dan memudaratkan.

“Manusia perlu sedar dari sekarang akan segala bencana yang sedang menimpa. Bertindak melakukan perubahan sekarang sebelum generasi akan datang ditimpa musibah agar tidak menyesal di kemudian hari. Kemusnahan yang berlaku angkara tangan manusia jadi tiada sesiapa yang perlu dipersalahkan melainkan manusia itu sendiri.

“Dalam menjamin kelestarian alam, penglibatan diri secara konsisten dan kreativiti dalam pencarian jalan penyelesaian permasalahan. Jalinan kerjasama kukuh dan erat dengan agensi kerajaan yang berkaitan penting dalam segala pelaksanaan,” katanya.

Besarlah hasratnya untuk melahirkan generasi yang lebih menjiwai nilai keprihatinan penjagaan alam dan berkesedaran sivik yang tinggi. Dalam menjaga alam sekitar bukan kerja seorang sebaliknya memerlukan keterlibatan semua pihak misalnya kerajaan agar lebih menitikberatkan usaha pencapaian dasar dan polisi kehijauan secara holistik dan berkesan.

Di Laos, beliau berpeluang menyertai mesyuarat melibatkan aktivis pemimpin belia dari negara anggota ASEAN turut diadakan bagi membawa perkongsian idea dan pelaksanaan inisiatif program, polisi dan dasar semasa serta aspirasi suara anak muda kepada pemimpin kerajaan.

Zeng Kang giat melakukan usaha kelestarian alam di Malaysia melalui penanaman semula pokok, menjalankan projek kitar semula dan melakukan kempen kesedaran. Aktif dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi ‘Marine Conservation Efforts’, beliau melakukan aktiviti pembersihan di daratan dan pantai seluruh Malaysia dengan berenang serta menyelam di dasar laut untuk mengutip sampah-sarap.

Selama aktif menyelam, perkara yang menyedihkan Zeng Kang apabila banyak spesis hidupan marin semakin terancam dan hampir pupus angkara tangan manusia.

“Lautan kini dipenuhi sampah seperti straw, polistrin, plastik, bungkusan, dan botol yang menyakitkan pandangan mata dan jiwa. Keadaan ini memberi implikasi buruk terhadap hidupan marin justeru usaha pemuliharaan dan pemeliharaan perlu lebih dititikberatkan oleh kerajaan mahupun semua lapisan masyarakat,” ujarnya.

Dalam perspektif Islam, ketika mengikuti kelas bahasa Arab di UUM, pensyarah menerangkan bumi ini antara makhluk ciptaan Allah yang dipinjamkan kepada manusia untuk dijadikan sebagai tempat tinggal sementara sebelum berpindah ke alam akhirat.

“Ia tidak menjadi hak milik kekal bagi seseorang bahkan ia adalah sesuatu yang akan diwariskan daripada satu generasi kepada generasi seterusnya sehinggalah tiba saat kehancurannya.

“Mengambil kenyataan di atas, jelas adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai manusia mempunyai peranan penting untuk menjaga segala makhluk ciptaan-Nya yang ada di muka bumi ini,” kongsinya.

Sepanjang penglibatannya sebagai pecinta alam, beliau mencipta pencapaian hebat antaranya muncul sebagai Ikon Belia Kelestarian Alam (2022) dan anugerah Tokoh Belia ASEAN (Alam Sekitar) kategori junior pada 2019.

Sementara itu Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan turut berbangga dengan pencapaian beliau dan merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Beh Zeng Kang yang telah memberikan sumbangan cemerlang dalam melindungi alam sekitar.

Anugerah itu katanya secara tidak langsung meletakkan UUM pada peta global sekali gus mengharumkan nama UUM di persada antarabangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast