Pemilik Kedai Kek Kak Ngah, Azuren Husin menunjukkan kek pelanggan bertemakan Malaysia Madani dan kek Jalur Gemilang sempena Hari Kemerdekaan Ke-66 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kedai Kek Kak Ngah Sri Stulang,Johor Bahru. Foto MUHD NA’IM,29 OGOS 2023.

JOHOR BAHRU – Hidupnya mungkin tidak sempurna wanita lain.

Namun berstatus orang kurang upaya (OKU) pendengaran dan pertuturan bukan halangan Azuren Husin, 31 untuk mencapai impiannya membuka kedai kek dan roti sejak dua tahun lalu.

Malah wanita ini langsung tidak menjadikan kekurangan dirinya sebagai halangan untuk mencapai kejayaan seperti insan lain yang sempurna.

Lebih membanggakan, perniagaannya Kak Ngah Bakery & Kek yang terletak di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang, Permas Jaya itu turut menggunakan khidmat lapan pekerja OKU, bagi membantu mereka berdikari dan menjana  pendapatan sendiri.

Azuren Husin menyediakan roti yang dihasilkan dikedai miliknya, Foto MUHD NA’IM,30 OGOS 2023.

Azuren yang lebih mesra dipanggil Awin berkata, beliau dibantu rakannya yang normal, Aliah Sakinah Bani Amin, 32 yang bertindak menjaga ruang jualan hadapan sekali gus bertindak sebagai jurucakapnya serta pekerja lain.

Ini kerana dia hanya mampu menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi dengan pelanggan.

“Alhamdulillah, hasrat dan impian sejak kecil bagi membuka kedai kek dan roti sendiri tercapai dengan dorongan keluarga dan rakan saya.

“Saya turut berbangga kerana berjaya membuktikan golongan OKU juga mampu berdikari dan tidak mudah patah semangat untuk berjaya,” kata Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Vokasional Indahpura ini.

Azuren Husin bersama-sama pekerjanya yang juga OKU ketika tinjauan MalaysiaGazette di Bakery dan Kek di Kedai Kek Kak Ngah Sri Stulang,Johor Bahru. Foto MUHD NA’IM,30 OGOS 2023.

Bukan sekadar untuk mencapai impiannya untuk menjadi seorang usahawan, tetapi pada masa sama Azuren mahu berkongsi rezeki dengan rakan-rakan OKU yang lain.

“Atas alasan ini saya mengambil kawan-kawan senasib untuk bersama-sama bekerja memajukan perniagaan ini,” ujarnya.

Meskipun usia pembabitannnya dalam perniagaan ini masih baru, namun wanita muda ini sudah memasang angan-angan untuk melebarkan sayapnya dengan membuka cawangan lain jika ada peluang.

Katanya, dengan cara ini lebih ramai OKU dapat diambil bekerja.

Dia ditemui ketika  Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Zaiton Ismail, meninjau premis perniagaan bagi memberi sokongan kepada usahawan muda dan pekerjanya.

Azuren berkata, walaupun masih baharu namun perniagannya mula berkembang dengan baik atas sokongan masyarakat setempat  apabila mereka mengetahui ia diusahakan golongan OKU.

Penduduk sekitar memberi sokongan kepada Kedai Kek Kak Ngah yang diusahakan oleh Azuren Husin. Foto MUHD NA’IM,30 OGOS 2023.

“Ada pelanggan yang datang terkejut mendapati kedai ini mempunyai 90 peratus pekerja OKU malah saya turut menggunakan empat penghantar makanan yang OKU pertuturan dan pendengaran.

“Saya terharu apabila pelanggan juga tidak putus memberi kata semangat dan berjanji akan menyokong bakeri kami, walaupun sukar berinteraksi,” katanya yang berinteraksi dengan wartawan MalaysiaGazette melalui tulisan.

Selain menjual roti dan kek, kedai ini turut menerima tempahan kek daripada pelanggan.

Sejak beberapa hari lalu, Azuren dan pekerjanya tidak menang tangan menyiapkan tempahan kek bertemakan kemerdekaan.

Katanya, setiap hari dia menyediakan hampir 300 bungkus roti dan tidak kurang 20 kek  bagi memastikan bekalan di kedainya mencukupi.- MalaysiaGazette