Peserta kontinjen melakukan persembahan pada Sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putra, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 31 OGOS 2023.

PUTRAJAYA – Acara lompatan bermotosikal merentasi 66 motosikal model Royal Enfield adalah persembahan paling mencuri perhatian pada sambutan Hari Kebangsaan 2023, hari ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riíayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kelihatan teruja melihat persembahan kategori ekstrem itu.

Malah, para pengunjung juga tertarik dengan aksi berani oleh pasukan Akrobatik Motosikal Tentera Darat iaitu Army Red Warrior berkenaan.

Lompatan itu dilakukan dengan jayanya oleh Sarjan Saidatul Husna Kamaruddin, 34, dengan menggunakan Kawasaki Scrambler 250cc.

Beliau yang merupakan  pemegang rekod Lompatan Motosikal Terpanjang (Wanita) dalam Malaysian Book of Records (MBOR) menerusi slot persembahan khas Malaysia Madani di bawah segmen daya upaya dan kecekapan itu pastinya mengagumkan para penonton.

Persembahan tersebut antara yang terawal disajikan kepada pengunjung sambutan Hari Kebangsaan yang diadakan di Dataran Putrajaya pada hari ini.

Selain itu demonstrasi terjunanan tepat juga turut mendapat sorakan orang ramai kerana aksi tersebut juga tidak kurang hebatnya.

Mana tidaknya ia adalah antara persembahan yang luar biasa pada tahun ini oleh enam anggota Seksyen Latih dan Seksyen Rigger Cawangan Latihan Para 69 Komando Pasukan Gerakan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA).

Terdahulu, Hari Kebangsaan 2023 hari ini disambut dengan meriah dengan ribuan pengunjung dan pemimpin negara.

Bertemakan ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’, acara dimulakan dengan ketibaan rasmi para pemimpin negara, dan kemudian keberangkatan tiba Agong dan Permaisuri.

Diikuti dengan lintasan hormat pesawat membawa Jalur Gemilang serta tembakan 14 das meriam yang menjadi tradisi setiap tahun sambutan Hari Kebangsaan.

Sebanyak 36 pasukan pancaragam bakal berarak berserta gaya dan kreativiti mengiringi kontinjen yang menyertai perbarisan.

Pengunjung juga turut dimeriahkan dengan persembahan artis tempatan terkenal seperti Suki Low, Zizi Kirana dan Nadeera Zaini pada akhir acara majlis. – MalaysiaGazette