JOHOR BAHRU – Calon Perikatan Nasional (PN) Zulkifli Jaafar hanya akan memberi tumpuan untuk memperbaiki dan memperkemaskan gerak kerjanya sebelum tiba hari pembuangan undi 9 September ini.
Malah, beliau tidak mahu ambil pusing dakwaan pergolakan dalaman UMNO kerana mengakui banyak perkara lain yang perlu diberi fokus.
Katanya, pergolakan itu tidak dianggap kelebihan buat dirinya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 9 September ini
“Tumpuan saya sudah pasti pada gerakan jentera saya dengan mendekati pengundi di semua 40 pusat daerah mengundi (PDM) dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas dan DUN Pulai dalam tempoh 10 hari berkempen ini.
“Jika kita melayan atau bergantung dengan keadaan sekeliling, kita akan lemah dan berkhayal. Jika (UMNO) bergolak sekali pun, belum tentu mereka sokong saya,” katanya ketika ditemui semasa berkempen di Kempas, di sini hari ini.
Minggu lalu sebanyak 11 kain rentang dengan tertera mesej ‘Cawangan-cawangan UMNO Bahagian Pulai menolak calon Pakatan Harapan’ yang digantung sekitar kawasan Parlimen Pulai tular dalam media sosial.
Difahamkan ketua-ketua UMNO cawangan dalam Bahagian Pulai menolak calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat.
Susulan itu, Sabtu lalu, Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed akan bertemu dengan ketua-ketua cawangan bahagian itu untuk memujuk mereka yang tidak mahu menyokong Suhaizan pada PRK Parlimen Pulai. – MalaysiaGazette