kebocoran data UiTM
Mohamed Khaled Nordin

MUAR – UMNO mengharapkan pengundi tegar parti itu tidak mensia-siakan undi mereka dengan ‘tersalah pilih’ pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dan Parlimen Pulai, pada 9 Sept ini

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, walaupun keputusan pada PRK itu tidak akan mengubah Kerajaan Pusat mahupun kerajaan negeri, namun wakil rakyat yang dipilih perlulah selari dengan kedua-dua kerajaan berkenaan bagi membolehkan momentum pembangunan diteruskan.

“Pengundi tidak sewajarnya mensia-siakan undinya pilih wakil rakyat tak berkesan, empat tahun duduk relaks…tak payah balik, tak payah tengok pengundi, tak payah selesai masalah.

“Tetapi kalau kita pilih wakil rakyat yang ada hubungan dengan kerajaan, tiada alasan untuk dia tidak membantu rakyat. Kita nak pilih seorang wakil rakyat yang betul-betul berkesan boleh berkhidmat kepada rakyat,” katanya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor.

Pada masa sama, beliau yakin pengundi Barisan Nasional di Simpang Jeram dan Pulai memahami kepentingan menjayakan konsep perpaduan yang diterapkan oleh Kerajaan Perpaduan ketika ini, demi kemakmuran negara yang mempunyai pelbagai kaum dan agama.

“Kita perlu ambil manfaat daripada kepelbagaian itu untuk membawa lebih kemajuan untuk negara,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan walkabout di sekitar Taman Jeram Mulia, dekat sini, hari ini.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan berikutan kematian penyandang kedua-dua kerusi tersebut Datuk Seri Salahuddin Ayub, pada 23 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK bagi kedua-dua kerusi itu diadakan serentak dengan hari pengundian awal pada 5 Sept, diikuti hari pengundian 9 Sept. – BERNAMA