Calon Pakatan Harapan (PH) P.161 Pulai, Suhaizan Kayat bersama penduduk setempat mengibarkan Jalur Gemilang sambil membuat pengiraan detik Ambang Merdeka sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.161 Pulai di Taman Seroja, Johor Bahru. Foto MUHD NA’IM, 30 OGOS 2023.

JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan Suhaizan Kayat berkata, beliau emakin selesa dengan penerimaan dan kerjasama daripada Barisan Nasional (BN) sepanjang melakukan gerak kerjanya sepanjang berkempen.

Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor itu berkata, dalam tempoh yang singkat itu sahaja, beliau diiringi melawat beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) UMNO di kawasan Parlimen Pulai.

“Secara peribadi, saya cukup terharu dengan sokongan kepimpinan UMNO baik di peringkat negeri, bahagian dan cawangan.

“Kehadiran memberangsangkan dan saya pergi program tadi dianjurkan pemimpin UMNO dan kami telah mengadakan perbincangan di PDM bersama ketua cawangan UMNO dan ini sangat luar biasa.

“Ini semua nampak bekerjasama untuk kestabilan. Selepas ini kita akan teruskan lagi program sebegini, menemui rakyat seramai mungkin di kawasan ini dan beberapa kawasan yang belum masuk kerana kesuntukan masa,” katanya selepas menghadiri program Ambang Merdeka di Taman Seroja tengah malam tadi.

Jelas Suhaizan, sokongan yang diberikan BN itu membuktikan dengan jelas kerjasama PH-BN bukanlah omong-omong kosong.

Untuk itu katanya, lebih banyak perjumpaan serampang dua mata berbanding ceramah mega akan dilakukan di pusingan akhir ini.

Setakat semalam sahaja sebanyak 18 kempen telah dihadiri Suhaizan. – MalaysiaGazette