R. Ramanan

KUALA LUMPUR – Sekolah vernakular bukan punca yang menyebabkan perpecahan di negara tetapi wujudnya ahli politik seperti Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk R Ramanan kesal kerana bekas perdana menteri itu masih mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan apabila menggesa sekolah vernakular dimansuhkan, sedangkan ia merupakan sebahagian daripada sistem sekolah kebangsaan.

Ramanan yang Pengerusi Jawatankuasa Khas Unit Transformasi India Malaysia (Mitra) menambah, sekolah vernakular dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan, tidak seperti sekolah swasta dan telah wujud sejak merdeka lagi.

“Sekolah rendah Cina misalnya mempunyai lebih 100,000 pelajar Melayu, India dan bumiputera lain manakala sekolah rendah India pula memainkan peranan utama dalam pembangunan negara.

“Saya jemput Tun Mahathir melawat sendiri sekolah-sekolah ini dan lihat sifat-sifat mereka kepada perpaduan negara dalam program dan silibus sekolah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata Ramanan lagi, hasil daripada kewujudan sekolah-sekolah ini, rakyat Malaysia telah dapat memahami bahasa Mandarin dan Tamil yang merupakan aset linguistik.

“Satu sebab mengapa orang Melayu dan India menghantar anak mereka ke sekolah vernakular ini selama enam tahun pendidikan rendah kerana mereka mahu anak mereka belajar bahasa Mandarin atau Tamil di sekolah Tamil,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata Ramanan lagi, masyarakat Cina dan India adalah aset ekonomi utama, sesuatu yang semua pihak mesti fahami.

Apabila anak-anak sekolah vernakular ini boleh bertutur dalam bahasa lain, ia membolehkan kebolehpasaran mereka meningkat.

Dakwa Ramananan, Mahathir malangnya telah memilih untuk melihat segala-galanya dari sudut perkauman untuk memastikan beliau berada dalam berita.

“Pada usia Mahathir sekarang, sepatutnya beliau memainkan peranan menyatupadukan rakyat Malaysia dan bukannya mewujudkan perpecahan. Bukan menghasut seperti ini.

“Kami ingin tahu sama ada cucunya bersekolah di sekolah swasta atau antarabangsa atau mereka berada di sekolah kebangsaan kita, seperti rakyat Malaysia yang lain?

“Amat dikesali Mahathir masih menyebut rakyat Malaysia yang bukan Melayu sebagai ‘pendatang’ ketika kita menyambut ulang tahun ke-66 kemerdekaan negara.

“Bukan sekolah vernakular yang menyebabkan perpecahan negara tetapi ahli politik seperti Dr Mahathir,S” ujarnya. -MalaysiaGazette