PERSEKUTUAN Tanah Melayu negara kita mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, kemudian membentuk Malaysia pada 16 September 1963.
Merdeka sesebuah negara adalah untuk dinikmati oleh anak watan negara yang merdeka. Sebab itu nyawa pejuang-pejuang anak watan sedia dikorbankan untuk perjuangan demi kemerdekaan.
Setelah 66 tahun merdeka, apa status anak watan kaum pribumi? Bahagiakah kaum pribumi hasil perjuangan kemerdekaan atau ianya dinikmati oleh pihak lain?
Secara umum, jelas sudah kemerdekaan bagi umat pribumi, ianya seolah-olah menang sorak kampung tergadai. Bumi yang dipijak termasuk Tanah Rizab Melayu kini tinggal 12 peratus dan tonggak asas sosial kontrak hanya sekadar hiasan dalam Perlembagaan Negara. Kesetiaan pada prinsip Rukun Negara juga tidak membawa semangat bangsa negara.
Kerosakan yang berlaku melalui pelbagai peristiwa dan perilaku pemimpin serta parti politik termasuk NGOs tertentu tidak perlu disenarai satu persatu.
Bagi yang memahami erti semangat patriotisma yang sebenar, hasil dari kemerdekaan amatlah pedih dan menyakitkan hati. Negara yang dahulunya bumi Melayu kini telah hilang identiti dan membawa wajah berkecamuk, indah kulit dari isinya.
Harapkan pegar, pegar makan padi, selaku Presiden Parti Putra yang ditubuhkan demi kelangsungan perjuangan Nasionalisma Melayu Islam supaya bumi yang dipijak tidak menjadi milik orang, maka dengan tegas saya mengajak terutama kaum pribumi dan rakyat Malaysia supaya menolak Konsep Malaysian Malaysia, fahaman sekular yang memisahkan agama dengan kehidupan yang bermoral, fahaman pluralism yang bermatlamat agama sama rata, bahasa sama rata dan semua hal sama rata atas dasar negara berbilang kaum.
Di manakah hormat dan menghayati perjanjian sosial kontrak dan di manakah dukungan kepada Asas Perlembagaan Negara.
Semuanya retotik sahaja. Fahaman liberalism yang melampau juga wajib dicegah kerana ianya membawa budaya hidup LGBT dan budaya yang merosak akal budi dan moral yang bertentangan dengan syariat Islam serta budaya timur.
Tidak perlulah saya menyentuh hal jurang ekonomi dan harta rakyat antara kaum. Kita lihat gedung-gedung, bangunan pencakar langit, rumah dan kediaman mewah dan pelbagai lagi bukan milik pribumi.
Tunggulah rumah mampu milik dan rumah PPRT untuk kaum pribumi. Kehidupan rakyat pula makin terhimpit dengan kos sara hidup yang terus meningkat, nilai ringgit tidak stabil dan merudum, hutang negara mencecah RM1.4 trilion.
Imej negara korupsi dan politik haru-biru yang tidak menentu.
Apapun marilah sama-sama kita awasi apa sahaja yang dibuat atau lakukan perubahan atas nama reformasi supaya tidak merugikan kepentingan kaum asal pribumi dan asas kerangka negara yang terikat dengan Perjanjian Sosial Kontral. Ianya bukan hiasan untuk retorik, tetapi wajib dilaksanakan.
Membujur lalu melintang patah, marilah sama-sama kita membina negara bangsa berasaskan kepada Prinsip Sosial Kontak demi kestabilan negara dan keselamatan rakyat.
Jika kaum pribumi yang merupakan kaum majoriti hidup dalam kegelisahan dan tidak tenteram, ianya tidak menjamin masa depan negara yang gemilang.
Semoga kaum minoriti memahami dan menghayati peringatan ini untuk kestabilan politik dan keselamatan negara.
Menangis diriku mengenang bangsaku di saat menyambut Hari Kemerdekaan ke-66 pada tanggal 31 Ogos 2023.
Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Presiden Putra, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali
*Artikel ini memaparkan pandangan pembaca dan tiada ada kena mengena dengan pendirian portal kami. – MG
Anak watan kaum peribumi hanya boleh jadi tukang sorak kampung tergadai?
Lihatlah dimana2 ianya berlaku? Terbaharu di Gombak? Dikota2 mereka kini tak mampu lagi untuk memiliki rumah yang rata2 sangat mahal harganya… he..he..
Selamat Menyambut Hari Merdeka!