PUTRAJAYA – Seramai 8,583 pelajar India dari institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta  (IPTA) dari  kategori B40 memohon bantuan pengajian Ijazah Sarjana Muda daripada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas  unit berkenaan, Datuk R Ramanan daripada jumlah berkenaan seramai 2,492 pelajar telah menerima bantuan RM2,000 melibatkan dana  keseluruhan RM4.9 juta.

“Seramai 3,193 nama pelajar telah diserahkan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk saluran subsidi. Baki dijangka menerima bantuan secepat mungkin mengikut fasa,” katanya ketika sidang media di Bangunan Setia Perkasa, hari ini.

Beliau berkata, permohonan untuk 10,000 pelajar itu  akan dibuka sehingga 15 September ini.

Ujarnya, MITRA melaksanakan semakan kelayakan secara terperinci sebelum meluluskan permohonan.

“Kita semak sama ada pelajar berkenaan masih menuntut dan antara semester 2,3 atau 4 di IPTA atau IPTS dan yang penting mereka merupakan pelajar dalam kalangan B40,” jelasnya.

Terdahulu,  bantuan secara one-off itu bertujuan  membantu pelajar B40 untuk membayar yuran.

Selain itu, Ramanan turut memaklumkan  MITRA kini dalam proses membayar RM2.2 juta subsidi pendidikan awal kepada 38 buah tadika swasta.

Katanya, sebanyak RM7.18 juta akan disalurkan kelada tadika swasta bagi manfaat 2,993 kanak-kanak tadika swasta

“Peruntukan itu melalui dokumen perjanjian yang telah dimeterai MITRA bersama 107 tadika swasta.

“MITRA juga dalam proses bayaran untuk 38 tadika melibatkan 923 kanak-kanak dengan jumlah RM2.21 juta,” tambah beliau.

Menurut beliau, MITRA telah meluluskan 140 permohonan bantuan subsidi dialisis dari pesakit buah buah pinggang selepas menerima permohonan 135 pusat dialisis dari 140 pesakit manakala secara individu daripada 813 orang.

Katanya,  sebanyak RM8,640 juta diperuntukkan bagi program berkenaan.-MalaysiaGazette