KUALA LUMPUR – Cadangan pelaksanaan tempoh sah laku sijil Kursus Pra Perkahwinan Islam selama 10 tahun bermula 1 Oktober 2023 masih lagi di peringkat pertimbangan.
Pada masa ini sijil kursus itu sah laku seumur hidup.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata, cadangan tersebut telah dibincangkan oleh Jakim bersama jabatan agama Islam negeri (JAIN) dan ia masih lagi dalam peringkat cadangan dan pertimbangan untuk dilaksanakan.
“Cadangan tersebut dibangkitkan bagi memastikan pelaksanaan kandungan Modul Kursus Pra Perkahwinan Islam yang lebih relevan dan berkesan kepada bakal pengantin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Jakim lagi, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara ini apabila ianya dimuktamadkan bersama pihak berkuasa agama negeri kelak. – MalaysiaGazette