Najib Razak Hamid Sultan
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer mendakwa perbicaraan yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak khususnya dalam kes SRC International telah menyaksikan banyak kontroversi.

Beliau hairan kerana sejak dari mula lagi tiada hakim kanan yang mendengar kes tersebut walaupun ia merupakan amalan yang lazim di mahkamah untuk kes-kes berprofil tinggi.

“Contohnya, mendiang Datuk Sri Gopal Sri Ram ketika menjadi Hakim Mahkamah Rayuan pernah dihantar ke Mahkamah Tinggi untuk mendengar satu kes.

“Selain itu, seorang hakim terkemuka pernah dihantar ke negeri lain untuk mendengar kes berprofil tinggi yang lain,” katanya seperti dipetik daripada artikel tulisannya dalam ruangan pendapat FMT hari ini.

Hamid Sultan
Hamid Sultan Abu Backer

Hamid Sultan turut menyentuh tentang tindakan pendaftar Mahkamah Persekutuan yang menetapkan tarikh pendengaran rayuan kes Najib sebelum permohonannya untuk diwakili oleh Peguam Diraja United Kingdom (UK) didengar.

Beliau juga membangkitkan tentang maklum balas daripada para pemegang taruh dalam sistem keadilan terhadap isu-isu berkaitan konflik kepentingan melibatkan seorang hakim ekoran laporan media mengenai hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Di samping itu, saya hairan apabila draf alasan penghakiman tersebar sebelum perayu didengar sepenuhnya seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 92 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan sebelum proses rayuan selesai.

“Saya juga sangat kecewa apabila membaca kenyataan media oleh para pengamal undang-undang terkemuka yang memberi tekanan terhadap mahkamah agar tidak membenarkan permohonan pasukan peguam Najib untuk mendapatkan penangguhan, lebih-lebih lagi pendengaran itu dibuat di Mahkamah Persekutuan,” jelasnya.

Hamid Sultan menambah, adalah agak menyedihkan apabila kecaman dilemparkan terhadap peguam utama Najib, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang merupakan seorang peguam yang sangat berpengalaman dan berpengetahuan dalam mengendalikan kes jenayah.

“Akhirnya Najib tidak mempunyai peguam untuk mewakilinya, sekali gus menafikan hak perlembagaannya,” katanya.

Secara keseluruhan, beliau berpandangan, fakta kes Najib dan hujah penangguhannya merupakan sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah perundangan negara.

Namun, beliau lega apabila salah seorang hakim dalam panel semakan kehakiman kes SRC International di Mahkamah Persekutuan pada 31 Mac lalu masih menghargai konsep keadilan tatacara.

“Malah penghakiman berbeza itu mungkin mempunyai kesan yang signifikan terhadap permohonan Najib untuk mendapatkan pengampunan,” jelasnya.

Walaupun Hamid Sultan tidak menyatakan nama hakim tersebut, beliau dipercayai merujuk kepada Hakim Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Abdul Rahman pernah menjadi tumpuan kerana beliau merupakan satu-satunya hakim yang membuat penghakiman berbeza menentang keputusan majoriti 4-1 yang menolak permohonan semakan kehakiman kes SRC International oleh Najib. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Dikatakan mastermind kes 1MDB kini menyorok dan sedang berseronok2 disebuah negara. Hanya Najib sahaja yang merengkok 12 tahun. Itulah siapa suroh hang berkawan dan percaya sangat dengan specis sakau ni?

    Mastermind insuran insan yang dikatakan mencuri dan menyalahgunakan data peribadi orang awam bila polis nak tangkap? Siapa pula yang bakal merengkok kali ini?

Comments are closed.