PUCHONG – Jumlah kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kematian dan kecederaan meningkat sebanyak 16 peratus setiap bulan.
Menurut Pengarah Bahagian Penguatkuassa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan, perkembangan tersebut membimbangkan.
Statistik itu bercanggah dengan sasaran Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (PKJRM) 2023, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) iaitu mengurangkan 50 peratus kemalangan jalan raya setiap tahun.
Katanya, lebih membimbangkan apabila motosikal merupakan penyumbang terbesar daripada peningkatan kemalangan jalan raya.
Sehubungan itu, ujar beliau, JPJ Bahagian Penguat Kuasa melancarkan Operasi Khas Motosikal Tahun 2023 yang berlangsung selama sebulan.
“Tujuan kita kerana kita dapati trend sekarang ini menunjukkan peningkatan kadar kematian sehingga Mei lebih 2,600 kematian direkodkan dan 70 peratus daripadanya disumbangkan penunggang motosikal.
“Saya dapati bahawa trend ini memberikan satu signal yang membimbangkan kepada pengguna jalan raya termasuk penunggang motosikal,” katanya ketika sidang media di LRT Puchong Perdana hari ini.
Jelas Lokman, operasi tersebut diadakan dengan harapan penunggang motosikal khususnya sedar terhadap bahaya melanggar undang-undang jalan raya.
Beliau berkata, semenjak semalam hingga hari ini sebanyak 205 daripada 1,302 motosikal yang diperiksa telah disita.
Selain itu, sebanyak 841 kesalahan melibatkan motosikal dikesan yang mana paling tinggi melibatkan Tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Tiada Perlindungan Insurans sebanyak 136 kesalahan.
Dalam masa yang sama, 691 buah motosikal telah diambil tindakan termsuk 642 notis saman.
Mengulas lanjut, Lokman berkata, JPJ telah mengenal pasti lokasi-lokasi panas untuk operasi dijalankan sepanjang bulan ini.
“Ini bukan untuk mencari kesalahan tetapi lebih kepada mendidik pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal supaya mematuhi undang-undang jalan raya.
“Kita kenal pasti kawasan-kawasan operasi akan berubah-ubah setiap masa dan mengadakan sekatan jalan raya bukan untuk memeriksa sahaja tetapi melihat sikap supaya penunggang jalan raya mengubah sikap mematuhi undang-undang jalan raya,” katanya lagi.- MalaysiaGazette