KUALA LUMPUR – Tindakan seorang individu yang mahu melafazkan taklik cerai terhadap isterinya sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan masih bertahan hingga Ogos menandakan politik negara ini semakin parah.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, bertaruh hubungan keluarga atas perkembangan politik semasa menunjukkan kematangannya yang sangat rendah.
“Ini adalah politik ekstrem tahap tinggi, fanatik hingga ke tahap memutuskan hubungan suami isteri menandakan politik di negara ini menuju ke arah kekacauan yang parah.
“Kami berpandangan individu berkenaan telah menerima indoktrinasi politik melampau akibat pemimpin politik pembangkang menanamkan persepsi di luar kerangka demokrasi yang matang.
“Individu tersebut menjadi mangsa kepada kempen yang agresif, menanam kebencian keterlaluan untuk menjatuhkan kerajaan melalui label dan menggunakan sentimen perkauman serta agama,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Azmi lagi, parti pembangkang amat gelojoh untuk merebut kuasa dengan kaedah matlamat menghalalkan cara.
Ujarnya, sentimen kebencian yang melampau sanggup memporak perandakan masyarakat hingga ke tahap merosakkan institusi kekeluargaan.
“Malangnya, pemimpin parti pembangkang sanggup mengelirukan masyarakat sehingga wujud kes penceraian seperti yang dilakukan oleh individu itu, hanya kerana politik sempit.
“Sikap ini sangat tidak bertanggungjawab dan tidak boleh dibiarkan tanpa ditegur ahli agamawan,” ujarnya.
Azmi berkata, bukan sekadar budaya melabel atau mengkafirkan orang lain yang kembali menjadi gejala buruk dan semakin berleluasa, kini lafaz cerai juga begitu mudah dikaitkan dengan fanatik politik.
“Ternyata kedudukan institusi kekeluargaan dan akad antara suami dan isteri yang sangat suci di sisi Islam kini boleh terlerai hanya kerana fahaman politik yang sangat rendah,” tambah beliau.
Sebelum ini, tular di laman sosial mengenai seorang lelaki yang memaklumkan dia bertaklik menceraikan isterinya talak tiga jika Anwar dan kerajaan tidak bertukar pada Ogos sehingga mengundang persoalan ramai sama ada talak itu jatuh atau sebaliknya. – MalaysiaGazette
itu yang berlaku dinegeri tok guru . tandanya lambang taksub sedang berlaku .bukti didikan telah berjaya mempengaruhi otak umat manusia. itu yang terzahir masih sepuluh lagi yang tersembunyi . memendam macam api dalam sekam